Peminat Bosan, Bos FIA Setuju F1 Guna Balik Enjin V8

Peminat Bosan, Bos FIA Setuju F1 Guna Balik Enjin V8

Cadangan untuk membawa semula enjin V8 ke Formula 1 bukan sekadar idea nostalgia, ia sebenarnya satu langkah strategik yang sedang dipertimbangkan secara serius oleh FIA. Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem, sendiri menyifatkan idea ini sebagai satu keputusan yang logik dan hampir tidak perlu diperdebatkan dalam keadaan semasa F1 yang semakin kompleks.

Sejak tahun 2014, jentera Formula 1 telah menggunakan enjin V6 turbo hybrid yang sangat maju dari segi teknologi, tetapi pada masa yang sama terlalu kompleks. Untuk musim 2026, peraturan baharu akan menjadikan sistem ini lebih ekstrem, dengan hampir 50% kuasa datang daripada komponen elektrik.

Walaupun kedengaran futuristik, realitinya ramai pihak dalam paddock termasuklah pemandu dan pasukan mula melihat halatuju baru ini sebagai satu beban. Sistem yang terlalu kompleks bukan sahaja meningkatkan kos pembangunan, malah menjadikan perlumbaan kurang realistik kerana terlalu bergantung kepada pengurusan tenaga berbanding aksi pemanduan sebenar.

Dalam konteks ini, idea enjin V8 muncul sebagai lebih menarik. Konsep yang dicadangkan adalah enjin V8 dengan kapasiti sekitar 2.6 hingga 3.0 liter, menghasilkan kira-kira 880 kuasa kuda, dan mampu berputar sehingga 15,500 hingga 16,000 rpm.

Apa yang lebih penting ialah sistem hybrid masih dikekalkan tetapi hanya menyumbang sekitar 10% daripada keseluruhan kuasa. Ini merupakan perubahan besar berbanding sistem semasa yang hampir seimbang antara enjin pembakaran dalaman dan elektrik.

Fokus utama F1 ialah perlumbaan akan kembali menggunakan enjin sebenar yang menggunakan enjin pembakaran dalam yang selama ini menjadi nadi kepada identiti Formula 1. Walaupun elemen elektrifikasi tidak dibuang sepenuhnya, FIA jelas mahu mengurangkan kebergantungan terhadap aspek hibrid.

Hybrid masih ada untuk memastikan kaitan teknologi F1 dengan dunia automotif moden serta penggunaan bahan api lestari, tetapi peranannya tidak lagi dominan. Pemilihan konfigurasi V8 pula bukan dibuat secara rawak tetapi enjin ini lebih ringan dan kurang kompleks berbanding V6 hybrid sedia ada, tetapi masih relevan dengan teknologi kereta jalan raya.

Selain itu, satu faktor yang tidak boleh dinafikan ialah bunyi. Enjin V8 menawarkan karakter bunyi yang lebih agresif dan emosional, sesuatu yang sudah lama dirindui oleh peminat F1 sejak era enjin aspirasi normal berakhir. V10 mungkin lebih ikonik dari segi bunyi, tetapi dianggap terlalu ekstrem dan kurang praktikal dalam konteks industri hari ini.

Dari sudut ekonomi, perubahan ini juga membawa implikasi besar. Enjin hybrid moden F1 sangat mahal untuk dibangunkan, menjadikan halangan kemasukan kepada pengeluar baharu semakin tinggi. Dengan enjin V8 yang lebih ringkas, kos pembangunan dapat dikurangkan dengan ketara.

Ini bukan sahaja membantu pasukan sedia ada, malah membuka peluang kepada lebih banyak pengeluar untuk menyertai Formula 1, sekaligus meningkatkan daya saing keseluruhan grid. Dari segi garis masa, perubahan enjin ini tidak akan berlaku serta-merta.

Sasaran utama FIA adalah sekitar tahun 2031, dan besar kemungkinan dipercepatkan ke 2030 sekiranya mendapat persetujuan majoriti pengeluar. Walaupun begitu, FIA mempunyai kuasa untuk melaksanakan perubahan ini walaupun tanpa sokongan penuh, menandakan betapa seriusnya arah tuju ini.

Ramai peminat mengkritik bunyi enjin hybrid yang kurang mengujakan, manakala pemandu pula sering mengeluh tentang kerumitan sistem seperti pengurusan tenaga dan fenomena seperti “superclipping” yang sukar difahami. Perlumbaan hari ini dilihat semakin bergantung kepada strategi dan perisian, berbanding keberanian dan kemahiran pemanduan.


Scroll to Top