am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Mustaffa, dekat Parit Sulong ketika urusan pengebumian Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, yang maut selepas dilanggar van di hadapan sekolahnya.
Perjalanan terakhir murid Tahun Dua, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong itu diiringi linangan air mata terutama ibunya, Asmilah Tukiran, 37.
Asmilah dilihat beberapa kali hampir pengsan sejak menunggu di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi menuntut jenazah anak sulung daripada dua beradik itu.
Sebelum itu, jenazah Nur Aini Umairah dibawa ke Masjid Jamek Kampung Parit Mustaffa, Parit Sulong untuk urusan pengebumian dan solat jenazah.
Ratusan terdiri ahli keluarga dan penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir kepada Nur Aini Umairah yang dikebumi bersebelahan pusara neneknya.
Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari, Nur Aini Umairah maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar sekolahnya.
Kejadian berlaku ketika semua murid sekolah terbabit pulang sebaik sesi persekolahan tamat.
Nur Aini Umairah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




