Operasi SAR warga emas ditamatkan selepas 3 hari

Operasi SAR warga emas ditamatkan selepas 3 hari

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang dikhuatiri lemas di sungai Kampung Masjid, Tikam Batu ditamatkan pada hari ketiga semalam selepas tiada sebarang petunjuk ditemukan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataannya berkata, Pusat Kawalan Bomba (PKB) Kampung Masjid ditutup sepenuhnya jam 7.30 malam tadi sehingga dimaklumkan terdapat petanda baru berkaitan mangsa.

Operasi SAR dilakukan sejak hari pertama pada Ahad lalu selepas mangsa, Mohamad Khalid @ Halim Salleh, 84, dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas berikutan penemuan selimut di tebing sungai berkenaan.

“Operasi disertai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dan 13 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani dan Jitra, unit dron, Unit Anjing Pengesan K-9 JBPM dan 10 penduduk kampung selain bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Selain itu, operasi pencarian turut menggunakan bot aluminium di lokasi pencarian selain di darat, selaman dan di permukaan air sepanjang tempoh tiga hari itu.

“Bagaimanapun, mangsa belum ditemui setakat ini dan operasi ini diketuai Penguasa Bomba Bryan Del Bungkias, “menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, operasi pencarian turut menggunakan khidmat anjing pengesan K-9 JBPM melalui aliran sungai menggunakan bot fiber menghulu (melawan arus) pada jarak tiga kilometer (km) dari PKB Kampung Masjid.

Selain itu, selepas perbincangan dengan semua pihak termasuk JBPM, PDRM, penduduk kampung dan waris mangsa, operasi SAR selama tiga hari itu akhirnya ditamatkan semalam.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun dikhuatiri lemas di kawasan sungai, di sini, malam Sabtu lalu.

Berikutan itu, pasukan bomba dan penyelamat sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi pencarian, bermula Ahad lalu di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh berdasarkan penemuan selimut di tepi sungai yang jaraknya hanya 30 meter dari rumah mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top