kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Lonjakan kos subsidi bahan api negara kepada sekitar RM5 bilion sebulan disifatkan sebagai tekanan fiskal yang amat serius dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan negara jika berlarutan dalam tempoh panjang.
Penganalisis Ekonomi, UniKL Business School Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, peningkatan mendadak itu menunjukkan kerajaan kini berdepan beban subsidi hampir tujuh kali ganda berbanding sebelum konflik di Asia Barat memuncak awal tahun ini.
Katanya, jika harga minyak mentah kekal sekitar AS$111 setong, kos subsidi bahan api boleh mencecah RM60 bilion setahun, bersamaan kira-kira 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Jumlah itu jauh melebihi bajet asal subsidi 2026 sebanyak RM15 bilion untuk semua jenis subsidi. Ini bermakna bahan api sahaja sudah menggunakan hampir empat kali ganda peruntukan asal kerajaan.
“Sekiranya tiada langkah penjimatan atau rasionalisasi dilaksanakan, defisit fiskal negara boleh meningkat kepada sekitar 5.5 hingga enam peratus daripada KDNK,” katanya kepada Bisnes Metro.
Beliau berkata, keadaan itu turut memberi risiko kepada penarafan kredit negara selain meningkatkan kos pinjaman kerajaan.
Katanya, antara tekanan terbesar ketika ini ialah risiko crowd-out terhadap perbelanjaan pembangunan negara apabila kerajaan terpaksa mengutamakan pembayaran subsidi berbanding projek infrastruktur dan sosial.
“RM60 bilion setahun itu bersamaan kira-kira dua kali ganda gabungan bajet kesihatan dan pendidikan negara.
“Projek seperti hospital, sekolah dan pengangkutan awam berpotensi ditangguhkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga dijangka terpaksa meningkatkan pinjaman bagi menampung kos subsidi berkenaan, sekali gus menyebabkan nisbah hutang kepada KDNK meningkat sehingga 67 peratus menjelang hujung tahun ini.
“Kos servis hutang juga dijangka bertambah sekitar RM4 bilion setahun jika trend ini berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan ketidaktentuan harga minyak global akan mempercepatkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 oleh kerajaan.
Katanya, tekanan fiskal yang semakin besar memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar secara lebih menyeluruh.
“Setiap bulan penangguhan bermakna kerajaan menanggung tambahan RM5 bilion. Dalam tempoh enam bulan sahaja, jumlah itu sudah mencecah RM30 bilion,” katanya.
Menurutnya, mekanisme paling berkemungkinan dilaksanakan adalah sistem apungan terkawal dengan subsidi bersasar menerusi bantuan tunai kepada golongan layak.
Katanya, harga RON95 boleh meningkat kepada sekitar RM3.20 seliter sekiranya harga minyak mentah kekal pada paras semasa, manakala golongan B40 dan sebahagian M40 dijangka menerima bantuan tunai antara RM200 hingga RM300 sebulan melalui MyKad atau e-dompet.
“Golongan M40 pula dijangka paling terkesan kerana sebahagian besar mungkin tidak layak menerima bantuan tunai tetapi masih perlu menanggung kenaikan kos petrol,” katanya.
Beliau berkata, kesan awal rasionalisasi subsidi dijangka meningkatkan kadar inflasi antara 1.2 hingga 1.8 peratus dalam tempoh 12 bulan pertama sebelum kembali stabil.
Bagi jangka panjang, katanya kerajaan perlu mengubah pendekatan daripada subsidi harga kepada subsidi bersasar kepada individu melalui sistem data bersepadu seperti PADU.
© New Straits Times Press (M) Bhd




