Seludup senjata api bersama pendatang haram?

Seludup senjata api bersama pendatang haram?

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Tidak hanya menyeludup masuk kumpulan pendatang haram malah tekong bot haram turut dikesan membawa bersama senjata api.

Penemuan pistol jenama Colt bersama lima butir peluru hidup itu adalah hasil rampasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan yang menggagalkan kemasukan 15 pendatang tanpa izin warga Indonesia, termasuk seorang tekong di perairan Port Dickson awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin berjaya memintas bot pancung mencurigakan tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, seramai lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Kesemua mereka ditahan selepas gagal mempamerkan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah bagi memasuki negara ini.

“Selain tangkapan individu, pemeriksaan rapi ke atas bot itu turut menemukan sepucuk pistol jenama Colt yang sudah dileraikan bersama lima butir peluru hidup,” ujarnya.

Salehuddin berkata, kesemua rampasan dan individu yang ditahan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

“Kes kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Akta Senjata Api 1971.

“Maritim Malaysia menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat atau aduan kecemasan di laut melalui talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 untuk tindakan segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top