Toprak kecewa tunggang jentera 'cap ayam'

Toprak kecewa tunggang jentera 'cap ayam'

Paris: Toprak Razgatlioglu mengakui pernah terfikir untuk masuk ke pit dan menarik diri daripada perlumbaan susulan permulaan sukar dalam karier MotoGP bersama jentera Yamaha yang kurang kompetitif.

Perpindahan dinanti-nantikan pelumba Turki itu ke kelas utama setakat ini belum membuahkan hasil apabila dia hanya mengutip satu mata selepas empat pusingan awal musim.

Walaupun proses menyesuaikan diri jentera prototaip sememangnya mencabar, tugasnya menjadi lebih sukar dengan kehadiran model baharu Yamaha V4 M1 yang masih dianggap antara paling perlahan di grid perlumbaan.

Pelumba berusia 29 tahun itu turut bergelut dengan aspek brek, yang sebelum ini menjadi antara kekuatan utamanya ketika beraksi dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK).

Selepas satu lagi aksi mengecewakan di Jerez iaitu litar yang menyaksikannya meraih dua daripada tiga kejuaraan WorldSBK, Toprak mengakui dia kini berdepan tekanan emosi yang tinggi.

“Brek motosikal tidak berfungsi dengan baik, terutama pada bahagian enjin.

“Saya sangat sedih dan marah kerana ia di luar kawalan saya. Saya tidak boleh buat apa-apa.

“Saya hanya menunggang dengan pelarasan ini dan motosikal tidak berhenti dengan baik.

“Ia sangat sukar. Kadang-kadang saya terfikir untuk kembali ke pit dan berhenti berlumba. Tapi kami tetap cuba dan terus belajar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top