wanasr@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Isu kemusnahan ekosistem marin dan ancaman terhadap keterjaminan makanan menjadi isu utama yang cuba disampaikan menerusi filem Takdir Akhir : Last Dive iaitu sebuah naskhah yang kini mendapat perhatian kerana mesej konservasi laut yang cukup mendalam.
Filem ini berjaya menterjemahkan kepentingan menjaga terumbu karang bukan sahaja untuk keindahan dasar laut, malah sebagai ‘kilang’ utama sumber ikan komersial yang menjadi punca makanan manusia setiap hari.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Azahari Othman yang menerima undangan ke pratonton khas filem yang dihasilkan oleh Produksi Seni 2020 turut berkongsi perkara mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan kehidupan laut selain memuji usaha yang dilakukan pasukan produksi terbabit.
Beliau berkata, antara babak yang paling menyentuh perasaan penonton adalah paparan aktiviti bom ikan yang masih berleluasa.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memusnahkan terumbu karang yang mengambil masa ratusan tahun untuk membesar, malah menyebabkan ikan mati sia-sia dengan kualiti yang merosot.
“Selain itu ia turut menonjolkan ancaman ‘ghost net’ atau pukat hantu yang menjadi perangkap maut kepada hidupan laut di kawasan terumbu karang.
“Isu pukat hantu ini sangat besar. Ia menyebabkan ikan kita mati begitu sahaja. Sebab itu, inisiatif membuang pukat ini bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat komersial sangat digalakkan untuk menyelamatkan khazanah laut kita,” katanya.
Tambahnya lagi, salah satu mesej paling kuat yang diselitkan adalah mengenai pencemaran sampah plastik di pesisir pantai.
“Pelancong diingatkan agar tidak membuang sampah ke dalam laut kerana ia mengganggu kehidupan marin secara drastik. Penonton juga diberi kesedaran betapa bahayanya plastik yang sering dianggap sebagai obor-obor oleh penyu.
“Apabila plastik tersebut dimakan, ia akan tersekat di dalam perut dan akhirnya membawa kepada kematian haiwan terbabit. ” ujarnya yang menyifatkan filem berkenaan Berjaya mengekalkan momentum suspen dan keterujaan penonton dari awal sehingga adegan terakhir selain sesuai ditonton dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat.
Hadir sama pada tayangan itu Penerbit Eksekutif Datin Dr Wendy Wong dan Datuk Nancie Foo.
Tidak ketinggalan penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan beberapa pensyarah universiti dan penuntut daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Filem yang menampilkan lakonan Shiqin Kamal, Aniq Duraf, Fify Azmi, Amerul Affendi, Sandra Lim (bekas Miss Universe Malaysia) serta penampilan istimewa Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi dan penyanyi Fauziah Latiff bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara tidak lama lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




