
Dua pelancong ditahan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh dalam tuk-tuk pada Selasa. Foto Agensi
PHUKET – Sepasang pelancong warga asing ditahan pada Selasa selepas aksi tidak senonoh mereka ketika menaiki tuk-tuk di Patong tular di media sosial.
Menurut laporan Thaiger, kejadian itu dirakam oleh seorang wanita tempatan yang menunggang motosikal di belakang kenderaan berkenaan sebelum dimuat naik pada 3 Mei dalam laman Facebook.
Dalam rakaman berkenaan, pasangan lelaki dan wanita warga asing itu dilihat berada di bahagian belakang tuk-tuk ketika melalui jalan utama di kawasan pelancongan tersebut sebelum bertindak melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai.
Video itu dipercayai dirakam oleh seorang wanita tempatan yang menunggang motosikal di belakang kenderaan berkenaan.
Perakam video turut kedengaran mempersoalkan tindakan pasangan itu dan menyifatkannya tidak wajar dilakukan di tempat awam.
Susulan penularan video, polis dari Balai Polis Patong menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan pasangan terbabit pada hari sama.
Pihak berkuasa mengesahkan kedua-dua individu berkenaan merupakan warga asing, namun tidak mendedahkan identiti mereka.
Polis memaklumkan tindakan undang-undang akan diambil, namun jenis pertuduhan atau hukuman masih belum diumumkan.



