Mydin buka cawangan baharu di Jabi, tawar barangan ‘harga rakyat’

Mydin buka cawangan baharu di Jabi, tawar barangan ‘harga rakyat’

RANGKAIAN peruncit dan pemborong halal terbesar negara, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) terus memperkukuh kedudukannya di Pantai Timur dengan pembukaan cawangan terbaharu di Jabi, di sini pada Khamis.

​Pembukaan pasar raya dengan nilai pelaburan keseluruhan berjumlah RM1.7 juta itu merupakan manifestasi komitmen syarikat dalam menawarkan harga yang kompetitif serta berpatutan kepada masyarakat setempat.

​Pengarah Eksekutif Mydin, Ahimmat Mydin berkata, cawangan berkenaan mencerminkan usaha berterusan pihaknya bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada produk berkualiti tinggi selaras dengan aspirasi ‘harga rakyat’.

​”Pembukaan Mydin Jabi ini adalah komitmen kami untuk memastikan masyarakat setempat menikmati akses kepada produk berkualiti pada harga kompetitif, merangkumi semua lapisan pengguna,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pasar raya tersebut di sini pada Khamis.

​Terdahulu, majlis perasmian cawangan tersebut disempurnakan oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Datuk Dr Azman Ibrahim.

Azman (tiga dari kiri) melakukan pembelian pertama sempena pembukaan Mydin Jabi di Besut.

Azman (tiga dari kiri) melakukan pembelian pertama sempena pembukaan Mydin Jabi di Besut.

Menurut Azman, pembukaan Mydin di Jabi mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta melengkapkan rantaian nilai pasaran, khususnya bagi sektor pertanian yang menjadi nadi utama kawasan tersebut dan negeri Terengganu secara amnya.

Jelasnya, Mydin dilihat sebagai platform strategik untuk memasarkan hasil tani tempatan ke peringkat yang lebih luas, sekali gus memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih menjimatkan.

​”Langkah ini merupakan satu ‘way forward’ yang signifikan dalam membantu ekonomi keluarga di Jabi. Tambahan pula, pengguna masa kini semakin bijak dalam menilai dan memilih tawaran terbaik yang mampu memberi nilai tambah kepada perbelanjaan mereka,” ujarnya.

Pasar raya setingkat yang dibina di atas keluasan 38,151 kaki persegi itu menawarkan lebih 10,935 unit stok simpanan (SKU) termasuk barangan runcit, barangan segar, pakaian serta kelengkapan rumah.

​Selain menjadi destinasi tumpuan penduduk sekitar, kehadiran pasar raya ini juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat menerusi penyediaan peluang pekerjaan dan ruang perniagaan.

Cawangan baharu Mydin di Jabi kini dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

Cawangan baharu Mydin di Jabi kini dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

​Dalam pada itu, Mydin turut memperluaskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program Mydin Prihatin yang memfokuskan bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan di kawasan sekitar.

​Sempena pembukaan tersebut, Mydin menawarkan promosi hebat bermula 7 hingga 10 Mei ini antaranya ayam pada harga RM1 seekor (terhad 100 pelanggan pertama ahli Meriah) dan ikan bawal emas pada RM3.99 seekor.

​Turut ditawarkan pada harga rendah ialah barangan keperluan lain seperti mi kuning (10 sen), minyak masak 5kg (RM29.89) serta beras putih import 10kg pada harga RM28.99 berbanding harga asal RM35.85.

Scroll to Top