Bonus sangat lumayan tunggu pemain Arsenal jika juara 'double'

Bonus sangat lumayan tunggu pemain Arsenal jika juara 'double'

London: Pemain-pemain Arsenal kini memburu bonus lumayan bernilai jutaan pound sekiranya mereka berjaya mencipta sejarah dengan memenangi ‘Double’ Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

The Gunners hanya memerlukan tiga lagi kemenangan liga untuk menjulang kejuaraan EPL pertama sejak musim “Invincibles” pada 2004 selepas tiga musim berturut-turut sekadar bergelar naib juara.

Kelab London Utara itu juga sudah mengesahkan tempat ke final Liga Juara-Juara menentang juara bertahan Eropah, Paris Saint-Germain, selepas menyingkirkan Atletico Madrid di separuh akhir.

Skuad kendalian Mikel Arteta bukan sahaja bermain demi trofi dan kemegahan, malah kejayaan itu turut menjanjikan ganjaran kewangan yang cukup besar.

Menurut laporan The Times, pemain Arsenal yang beraksi dalam setiap perlawanan dan membantu pasukan menjuarai EPL serta Liga Juara-Juara boleh memperoleh bonus sekitar £2.13 juta (RM11 juta).

Pemain Arsenal dijangka menerima keseluruhan £1.175 juta (RM6.28 juta) jika mereka muncul juara Eropah pada final 30 Mei di Puskás Aréna.

Jumlah itu termasuk bonus £125,000 (RM665,000) untuk kemenangan di final serta £50,000 (RM266,000) hasil kejayaan mara dari separuh akhir.

Selain itu, skuad Arsenal turut memperoleh bonus sekitar £1 juta (RM5.3 juta) selepas layak ke Liga Juara-Juara menerusi kedudukan naib juara liga musim lalu.

Terdapat juga bonus bernilai £228,000 (RM1.21 juta) sepanjang musim EPL, berdasarkan kira-kira £6,000 (RM31,000) bagi setiap penampilan pemain Arsenal dalam 38 perlawanan liga.

Akhir sekali, terdapat anggaran dana bonus bersama bernilai £725,000 (RM3.86 juta) bagi setiap pemain, yang dikumpul berdasarkan kemaraan dalam saingan liga dan piala sebelum diagihkan mengikut jumlah penampilan.

Arsenal masih mempunyai dua lagi aksi liga di tempat lawan menentang West Ham dan Crystal Palace, selain satu perlawanan terakhir di laman sendiri pada 18 Mei bertemu Burnley yang sudah disahkan tersingkir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top