zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan aspek keselamatan di sebuah sekolah menengah di Daro, Bahagian Mukah, selepas seorang pelajar Tingkatan Empat maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk di sekolah itu, malam tadi.
JPN Sarawak memaklumkan, kejadian itu sedang dalam siasatan pihak berkuasa dan kawasan kejadian itu kini ditutup.
“Pelajar, guru dan seluruh warga sekolah tidak dibenarkan menghampiri kawasan kejadian sehingga keadaan disahkan benar-benar selamat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Empat maut, manakala seorang lagi murid Tingkatan Tiga cedera parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Daro, Bahagian Mukah.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Rahim Mihos, berkata pihaknya menerima makluman daripada pihak sekolah mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam ketika tiga pelajar lelaki berada di kawasan mengambil wuduk.
Katanya, mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa berusia 15 tahun cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
JPN Sarawak berkata, tumpuan jabatan itu kini adalah untuk memberi bantuan terbaik kepada keluarga pelajar berkenaan, Allahyarham Fahrin Jumandy Abdullah, selain memastikan kebajikan seorang lagi pelajar yang sedang mendapat rawatan.
“JPN Sarawak menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Fahrin Jumandy.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan seluruh keluarga diberi ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




