saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penganjuran Kejohanan Golf Terbuka Malaysia diharap dapat kembali diadakan secara konsisten kerana kejohanan bertaraf antarabangsa itu penting dalam membantu meningkatkan tahap permainan pemain tempatan.
Pemain golf profesional negara, Zia Izzuddeen berkata, ketiadaan kejohanan besar di Malaysia ketika ini menyukarkan pemain tempatan untuk menguji kemampuan sebenar, terutama dari segi mental dan persaingan di peringkat lebih tinggi.
“Kalau tanya saya dan rakan-rakan pemain lain secara peribadi, memang perlu ada kejohanan antarabangsa seperti Terbuka Malaysia. Sebab kalau tak ada kejohanan besar, susah untuk pemain kita perbaiki aspek mental dan permainan,” katanya.
Zia berkata, ketika ini kebanyakan pemain tempatan hanya bergantung kepada kejohanan tempatan seperti siri Jelajah Profesional Golf Malaysia (Jelajah PGM), yang menurutnya bagus tetapi kurang mencabar dalam membentuk pemain berkualiti untuk jangka panjang.
“Contohnya macam sekarang, kita cuma ada PGM sahaja. Ia adalah kejohanan yang bagus tapi untuk membentuk pemain yang berkualiti dalam tempoh jangka masa panjang agak susah.
“Sebab kami bersaing hanya di kalangan kami sahaja. Kadang-kadang kami sudah boleh jangka siapa yang akan menang,” katanya ketika dihubungi.
Zia yang sedang meningkat naik dalam arena golf profesional tempatan berkata, penganjuran semula Terbuka Malaysia juga akan membuka peluang kepada pemain muda sepertinya merasai pengalaman beraksi di pentas dunia.
“Kalau pertandingan antarabangsa dianjurkan di Malaysia, pemain tempatan boleh diberi peluang beraksi mengikut slot yang diberikan oleh penganjur,” katanya.
Menurut Zia, kebanyakan pemain antarabangsa yang berjaya di pentas dunia juga memulakan langkah dengan beraksi dalam kejohanan besar di negara sendiri.
“Macam pemain luar negara, mereka pun bermula daripada negara mereka sendiri sebab ada kejohanan-kejohanan besar yang dianjurkan. Apabila diberi peluang bermain kejohanan besar yang menawarkan hadiah kemenangan lumayan, sudah pasti perasaan tekanan beraksi itu berbeza,” katanya.
Isu penganjuran tidak konsisten itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yang sedia mengadakan perbincangan bersama pihak berkenaan dalam usaha mencari jalan penyelesaian.
Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor menerusi laporan Arena Meto kemudian mengesahkan akan mengadakan pertemuan bersama Dr Mohammed Taufiq dalam tempoh terdekat bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk isu penganjuran Kejohanan Golf Terbuka Malaysia.
Katanya, pihaknya sememangnya memerlukan bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha untuk menganjurkan kejohanan berprestij itu pada tahun ini.
Terbuka Malaysia mula diperkenalkan pada 1962 sebagai Terbuka Malaya dan sejak itu tidak pernah gagal dianjurkan sehingga 2015. Selepas itu, ia terhenti selama empat tahun sebelum kembali dipertandingkan pada 2020.
Pandemik Covid-19 kemudian menjejaskan kelangsungan penganjuran sebelum ia kembali pada 2024 yang menyaksikan pemain Sepanyol, David Puig muncul juara.
Sepanjang sejarahnya, kejohanan itu pernah menyaksikan bekas pemain nombor satu dunia seperti Vijay Singh dan Lee Westwood muncul juara sebanyak dua kali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




