am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Pemuda ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Astana, Bandar Sri Astana, di sini, pagi hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataannya berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.51 pagi mengenai kebakaran membabitkan sebuah rumah.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani bersama bantuan BBP Aman Jaya digerakkan ke lokasi kejadian yang membabitkan 22 anggota.
Komander Operasi Mohd Zaki Senik berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada 5.07 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat.
Menurutnya, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah dan dipercayai bermula dari bahagian hadapan rumah.
“Sebuah kereta Perodua Alza serta empat buah motosikal turut musnah dalam kebakaran itu, ” katanya.
Mohd Zaki berkata, pasukan bomba menemukan jasad mangsa di ruang loteng rumah pada 5.23 pagi.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Dalam kejadian itu juga, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan lanjut.
Mohd Zaki berkata, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



