
Kes terbaharu melibatkan seorang doktor pelatih wanita yang meninggal dunia pada 1 Mei lalu. – Gambar hiasan.
JAKARTA – Kematian beberapa doktor pelatih di Indonesia dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan terhadap sistem latihan perubatan negara itu yang didakwa membebankan selain dikaitkan dengan budaya buli dan tekanan melampau.
Kes terbaharu melibatkan seorang doktor pelatih, Dr Myta Aprilia Azmi yang meninggal dunia pada 1 Mei lalu selepas mengalami jangkitan paru-paru ketika menjalani latihan di Hospital Wilayah KH Daud Arif di Jambi.
Menurut laporan media tempatan, mangsa dipercayai terus bekerja walaupun keadaan kesihatannya semakin merosot dan tidak mengambil cuti sakit.
Kematian tersebut merupakan kes keempat membabitkan doktor pelatih di Indonesia sejak Mac lalu, sekali gus meningkatkan desakan supaya kerajaan melaksanakan reformasi terhadap sistem latihan perubatan.
Pakar kesihatan awam Indonesia, Tjandra Yoga Aditama berkata, doktor pelatih berdepan tekanan kerja tinggi termasuk syif panjang, kurang rehat dan beban tugas berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan fizikal serta mental.
“Profesion perubatan sememangnya mencabar, namun sistem sedia ada perlu memastikan kebajikan doktor pelatih terus terpelihara,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Doktor Indonesia (IDI) menggesa penambahbaikan segera termasuk mengehadkan waktu kerja kepada 40 jam seminggu selain menyediakan cuti yang lebih munasabah kepada doktor pelatih.
Menurut seorang doktor pelatih dikenali sebagai Yuna, kebanyakan doktor pelatih hanya diberikan empat hari cuti setahun dan dalam sesetengah kes, cuti sakit turut dikira dalam jumlah tersebut.
Katanya, situasi itu menyebabkan ramai doktor muda mengalami keletihan melampau selain tekanan emosi.
“Ramai yang terpaksa bekerja walaupun tidak sihat kerana bimbang menjejaskan penilaian latihan,” katanya. – AGENSI


