Andrea laung amaran awal, dahului satu pukulan

Andrea laung amaran  awal, dahului satu pukulan

New York: Pemain golf Amerika Syarikat (AS), Andrea Lee mempamerkan aksi cemerlang apabila mendahului satu pukulan selepas tamat pusingan pertama Terbuka Mizuho Americas, awal pagi tadi.

Andrea membenam empat birdie dalam lima lubang terakhir untuk mencatat enam bawah par 66 di Mountain Ridge Country Club, sekali gus merekodkan pusingan terbaiknya tahun ini.

“Saya sebenarnya tak jangka dapat enam bawah par hari ini, jadi saya sangat gembira,” kata Andrea.

Menurut pemain ranking ke-24 dunia itu, strategi utamanya adalah bermain dengan sabar dan cuba mendapatkan sebanyak mungkin fairway dan green serta meminimumkan bogey.

Pemain Thailand Jeeno Thitikul dan pemain New Zealand Lydia Ko berkongsi kedudukan kedua dengan catatan lima bawah par 67 selepas masing-masing memulakan permainan dengan baik di sembilan lubang pertama.

Sementara itu, pemain Amerika Brooke Matthews dan pemain Korea Selatan Choi Hye-jin berkongsi tempat keempat dengan skor 68.

Andrea yang memulakan permainan di sembilan lubang belakang, bangkit selepas bogey di lubang ke-11 dengan membenam birdie di lubang ke-12 dan ke-13.

Dia kemudian menambah dua lagi birdie berturut-turut di lubang ke-18 dan pertama sebelum mencatat bogey di lubang kedua.

Pemain berusia 26 tahun itu menutup aksi dengan birdie di lubang kelima, keenam dan kelapan.

“Saya melakukan putting dengan sangat baik hari ini. Saya cuma pilih line yang tepat dan bayangkan bola masuk ke lubang, dan semuanya menjadi,” katanya lagi.

Jeeno pula memulakan saingan dengan birdie sebelum bangkit daripada bogey di lubang ketiga menerusi birdie di lubang keenam dan ketujuh serta eagle di lubang kelapan.

Dia menambah satu lagi birdie di lubang ke-16 untuk menamatkan saingan dengan skor 67.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top