New Delhi: Dua wanita maut selepas dirempuh kereta api ketika mereka cuba menaiki platform di Stesen Bakhtiyarpur di Bihar, Isnin lalu, lapor MustShareNews.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, rakaman video tular menunjukkan mangsa yang membawa beg sedang bergegas melintas landasan untuk menaiki platform stesen.
Beberapa orang awam yang berada di lokasi cuba membantu dengan menarik mangsa menaiki platform stesen manakala penumpang lain menjerit memberi amaran selepas menyedari kereta api semakin hampir.
Bagaimanapun, mereka tidak sempat menyelamatkan mangsa sebelum kereta api berkenaan merempuh mereka di antara gerabak dan platform stesen.
Mangsa dikenal pasti sebagai Intar Devi, 62, dan anak saudaranya, Sangeeta Devi, 45, yang meninggal dunia di lokasi kejadian kerana cedera parah.
Menurut laporan media tempatan, Intar berada di stesen berkenaan untuk menghantar anak saudaranya sebelum mereka memutuskan untuk melintas landasan secara haram.
Kereta api terbabit, Farakka Express, dilaporkan sudah diberi pelepasan oleh pihak stesen untuk melalui kawasan berkenaan pada waktu kejadian.
Susulan insiden tragis itu, operasi kereta api di stesen berkenaan dihentikan sementara bagi membolehkan kerja-kerja menyelamat dan siasatan dijalankan.
Anggota Pasukan Perlindungan Kereta Api (RPF) dan Polis Kereta Api Kerajaan (GRP) kemudian mengumpulkan mayat mangsa sebelum perkhidmatan disambung semula kira-kira 30 minit kemudian.
Pihak berkuasa sudah menghantar mayat kedua-dua mangsa ke hospital berdekatan untuk proses bedah siasat bagi tindakan lanjut mengikut prosedur undang-undang.
Pegawai Penyiasat RPF, Jawahar Lal memaklumkan bahawa siasatan serta prosedur undang-undang oleh pihak polis kereta api sedang giat dijalankan berhubung kes berkenaan.
Kejadian itu turut mencetuskan gesaan daripada penduduk setempat supaya jambatan pejalan kaki dibina segera bagi mengelak kejadian sama berulang di stesen yang sibuk itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




