mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pengarah Shuhaimi Lua Abdullah melahirkan perasaan gembira apabila drama arahannya, Bila Cinta Menjadi Dosa yang ditayangkan di slot Lestary TV3 trending dikalangan peminat.
Shuhaimi berkata, kejayaan drama ini dibantu oleh semua pihak terutamanya barisan pelakon hebat atau gred A yang ditampilkan.
“Saya sebenarnya teruja apabila bekerja dengan Che Puan Sarimah Ibrahim, Zamarul Hisham, Alya Iman, Nellisa Niezam, Zairi Aziz, Jasmin Hamid, Rahim Jailani, Maria Farida, Dian P Ramlee dan lain-lain.
“Kebanyakan mereka yang terpilih ada yang bukan kali pertama bekerja dengan saya seperti Zamarul yang bekerja dengan saya dalam Buruk Tok Ayah, Jasmin Hamid, Maria Farida, Lela Kadir dan Rahim Jailani.
“Bagaimanapun ini kali pertama saya dapat bekerja dengan Sarimah. Watak ini diberikan kepadanya kerana ia menepati ciri-ciri karakter yang diperlukan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, Sarimah berjaya membawakan watak Eva iaitu perempuan simpanan Datuk Yusuf (Zamarul) dan mereka berskandal selama 15 tahun.
“Sebenarnya agak susah untuk mencari watak Eva yang digambarkan oleh penulis skrip. Pelbagai nama pelakon disenaraikan untuk watak ini.
“Akhirnya, pihak TV3 memberi nama Sarimah. Apabila saya dapat tahu dia yang akan pegang watak itu, saya terdengar pula pelbagai cerita buruk pasal dia yang dikatakan ‘diva’.
“Saya menafikan perkara itu tidak benar. Alhamdulillah… perjalanan shooting berjalan lancar dan kami hanya shooting 52 hari, lebih awal dari jadual sebenar 60 hari,” katanya.
Shuhaimi berkata, dia senang bekerja dengan Sarimah kerana caranya yang profesional.
“Kita duduk berbincang sebelum sain kontrak dari A to Z. Dari jadual setiap hari kepada ‘wardrobe’. Bila dah selesai semua baru masuk set penggambaran.
“Apa yang orang sekeliling kata semua tidak benar sama sekali. Saya lihat dia adalah seorang yang profesional dan sangat teliti dalam kerjayanya.
“Apapun saya gembira kerana drama 30 episod ini mendapat ‘feedback’ daripada peminat yang ternanti-nanti tayangannya setiap kali disiarkan,” katanya.
Menurutnya esok adalah episod akhir drama ini dan dia mengharapkan peminat menonton kerana segala persoalan akan terungkai nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




