Bekalan minyak, diesel kini lebih teratur – PM

Bekalan minyak, diesel kini lebih teratur – PM

Cebu,Filipina: Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak dan diesel negara kini lebih teratur selepas mengambil langkah-langkah proaktif, terutama di bawah kelolaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah seperti pengurangan penggunaan petrol RON95, penguatkuasaan lebih ketat bagi membendung kebocoran dan ketirisan diesel serta usaha mengimport bekalan minyak, juga terbukti membantu dalam memperkukuh jaminan bekalan negara.

“Oleh itu dari segi bekalan (ini) tidak begitu meresap (terjejas) sepertimana yang dialami pada dua bulan lepas,” kata beliau kepada media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status bekalan minyak negara yang sebelum ini dilaporkan mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga Jun ini.

Mengulas isu bekalan minyak susulan krisis Asia Barat terhadap ekonomi dunia, Anwar berkata, perkara itu turut menjadi antara fokus utama dalam sidang kemuncak kali ini.

Beliau berkata, negara-negara anggota ASEAN turut membincangkan usaha bersama bagi menangani isu kekurangan bekalan serta mengurangkan tekanan kenaikan kos seperti makanan, baja dan pengangkutan.

“ASEAN mengambil langkah- langkan proaktif seperti bagaimana untuk meningkatkan pengeluaran.

“Negara-negara yang mempunyai (bekalan) lebihan turut mengambil keputusan untuk memberi keutamaan kepada ASEAN,” katanya.

Menyentuh projek khusus seperti Rangkaian Kuasa ASEAN, beliau berkata negara-negara anggota ASEAN menyokong sepenuhnya inisiatif itu bagi memenuhi keperluan sumber tenaga alternatif.

Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di sini yang berlangsung pada 7-8 Mei.

Anwar tiba di sini bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 1 Januari 2026 dengan tema “Navigating Our Future, Together,” (Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama) menerusi tiga teras iaitu Tonggak Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran dan Pemerkasaan Rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top