Lelaki Malaysia didenda, mungkin disenarai hitam masuk Thailand

Lelaki Malaysia didenda, mungkin disenarai hitam masuk Thailand
Lelaki Malaysia didenda, mungkin disenarai hitam masuk Thailand

Seorang lelaki warga Malaysia dikenakan denda 3,000 baht (RM364) dan berkemungkinan disenarai hitam daripada memasuki Thailand selepas didakwa merosakkan kunci tayar milik polis trafik di Hatyai, wilayah Songkhla.

BANGKOK – Seorang lelaki warga Malaysia dikenakan denda 3,000 baht (RM364) dan berkemungkinan disenarai hitam daripada memasuki Thailand selepas didakwa merosakkan kunci tayar milik polis trafik di Hatyai, wilayah Songkhla.

Menurut laporan portal berita Thaiger, kejadian itu berlaku baru-baru ini apabila sebuah kereta mewah jenis Mercedes-Benz bernombor pendaftaran Malaysia didapati diletakkan di kawasan larangan di Jalan Prachathipat.

Susulan itu, seorang anggota polis trafik bertindak mengunci tayar kenderaan terbabit selain mengeluarkan saman yang ditinggalkan pada cermin hadapan kereta berkenaan.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial memaparkan lelaki berusia 40 tahun itu mengundurkan kenderaannya sebelum kunci tayar tersebut patah, lalu meninggalkan lokasi tanpa menjelaskan denda.

Selepas video berkenaan mendapat perhatian ramai, lelaki terbabit tampil ke Balai Polis Hat Yai bersama seorang rakan dan jurubahasa.

Menurutnya, dia meletakkan kenderaan di kawasan larangan untuk bersarapan sebelum tergesa-gesa menghantar rakannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai sehingga tidak menyedari tayar keretanya telah dikunci.

Bagaimanapun, penjelasan itu didakwa bercanggah dengan rakaman CCTV yang menunjukkan dia memeriksa tayar kenderaan serta berbual dengan seorang penunggang motosikal sebelum beredar. – Agensi

Scroll to Top