Hantavirus: Penularan terhad tidak seteruk Covid-19?

Hantavirus: Penularan terhad tidak seteruk Covid-19?

AMSTERDAM – Negara-negara di seluruh dunia kini bertungkus-lumus mengekang penularan hantavirus selepas wabak itu melanda sebuah kapal persiaran meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) cuba meredakan kebimbangan orang ramai dengan menyatakan ancamannya tidak seteruk pandemik Covid-19.

Usaha kini giat dilakukan untuk menjejaki individu yang pernah berlayar dengan MV Hondius sebelum virus bawaan najis dan air kencing tikus itu dikenal pasti serta mana-mana penumpang yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit atau kes disyaki.

Pengendali kapal itu, Oceanwide Expeditions memaklumkan kesemua 30 penumpang dari 12 negara yang turun di St Helena di Lautan Atlantik Selatan pada 24 April lalu telah dihubungi.

“Kami sedang mendapatkan butiran kesemua penumpang dan kru yang turun di beberapa lokasi sejak 20 Mac lalu. Kami juga menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk WHO, kedutaan dan Kementerian Hal Ehwal Luar Belanda,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan kemungkinan lebih banyak kes akan dilaporkan walaupun risiko penularannya masih rendah dan terkawal.

“Ia berdasarkan tempoh inkubasi virus Andes tersebut yang mencecah sehingga enam minggu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Tindak Balas dan Amaran Kecemasan WHO, Abdi Rahman Mahamud percaya wabak itu tidak akan merebak secara meluas jika langkah keselamatan awam dilaksanakan dan diselaraskan di seluruh dunia. – Agensi

Info:

>Setakat ini, pasangan warga Belanda dan seorang rakyat Jerman disahkan meninggal dunia.

>Seramai lima individu dijangkiti virus tersebut manakala tiga lagi kes disyaki.

>Kes pertama disahkan pada awal Mei.

>Agensi Penyakit Berjangkit Singapura (CDA) mengesahkan dua rakyat mereka yang menaiki MV Hondius kini dikuarantinkan di Pusat Kebangsaan untuk Penyakit Berjangkit (NCID).

>Pada Rabu, tiga individu dipindahkan dari kapal itu. Dua daripadanya dihantar ke sebuah hospital di Belanda manakala seorang lagi diterbangkan ke Jerman.

>Di Switzerland, seorang lelaki kini dimasukkan ke hospital selepas didiagnos positif jangkitan hantavirus.

>Seorang penumpang warga Denmark pula melakukan pengasingan kendiri sebagai langkah berjaga-jaga.

>Di Kanada, dua penumpang yang kembali ke tanah air sebelum wabak itu merebak telah dikenal pasti manakala seorang lagi yang berada dalam penerbangan sama dengan individu yang menunjukkan gejala. Ketiga-tiga mereka disahkan asimptomatik.

>Individu lain yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus itu sedang menerima rawatan atau menjalani pengasingan di Britain, Jerman dan Afrika Selatan.

>Hantavirus boleh menyebabkan gangguan pernafasan dan jantung serta demam berdarah. Setakat ini, tiada vaksin mahupun penawar khusus untuk penyakit itu.

>Seorang penumpang dipercayai telah dijangkiti virus itu sebelum menaiki MV Hondius di Argentina dan menyebarkan wabak tersebut ketika kapal itu berlayar merentasi Atlantik.

>Pihak berkuasa kesihatan di Buenos Aires merancang untuk melakukan ujian ke atas sampel tikus di bandar Ushuaia di mana kapal itu berlabuh pada 1 April lalu.

Scroll to Top