Anggota APM meninggal dua hari selepas jatuh di Lata Bayu

Anggota APM meninggal dua hari selepas jatuh di Lata Bayu

am@hmetro.com.my

Baling: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling meninggal dunia selepas dua hari dirawat di Hospital Baling akibat terjatuh ketika berkhemah bersama rakan di kawasan rekreasi Lata Bayu, di sini.

Syahrul Fitri Nor Azizan, 26, atau dikenali Ayie dalam kalangan rakan meninggal dunia hari ini dan dikebumikan di kampung halamannya di sini, petang tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 8 malam, Rabu lalu, Syahrul Fitri terjatuh ke dalam air dan disedari rakan yang segera terjun untuk menyelamatkannya, sebelum dihantar ke hospital.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, arwah dipercayai beriadah di kawasan rekreasi itu bersama rakan sambil memancing.

“Kehilangannya amat kami rasai kerana dia seorang yang selalu ingatkan kawan-kawannya tentang solat dan mudah membantu rakan yang perlukan pertolongan.

“Arwah juga seorang yang berbudi bahasa, hormat orang, bertanggungjawab dan rajin. Dia sudah berkhidmat selama tujuh tahun dengan APM Baling, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe ketika dihubungi mengesahkan kematian anggota APM itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top