SUASANA panas menyelubungi sidang media UFC 328 di Prudential Center, Newark menjelang aksi Ahad ini (9 pagi waktu Malaysia) apabila juara middleweight, Khamzat Chimaev dan pencabar, Sean Strickland hampir bertumbuk ketika sesi face-off di pentas utama.
Ketegangan mula tercetus lebih awal apabila Strickland, 35, melancarkan beberapa provokasi yang mencetuskan kemarahan Khamzat, antaranya dakwaan bahawa petarung kelahiran Chechnya itu bersikap pengecut kerana menggunakan isu kesihatan sebagai alasan untuk tidak bertemu Leon Edwards antara Disember 2020 hingga Mac 2021.
Tidak cukup dengan itu, Strickland yang terkenal dengan gaya pertuturan lantangnya turut melabel Khamzat sebagai pengganas susulan hubungan akrabnya dengan pemimpin Republik Chechnya, Ramzan Kadyrov.
Kenyataan berkenaan pantas mengundang reaksi balas Khamzat yang membalas dengan kata-kata keras, sekali gus menjadikan suasana sidang media semakin tidak terkawal dan tegang.
Keadaan memuncak ketika sesi face-off di atas pentas utama apabila kedua-dua petarung saling bertukar kata-kata kesat sebelum hampir berbalas tumbukan.
Insiden itu memaksa pengawal keselamatan serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UFC, Dana White campur tangan bagi meredakan keadaan.
Rakaman UFC turut menunjukkan kedua-duanya terpaksa ditahan oleh pasukan keselamatan, namun Khamzat sempat melontarkan tendangan ke arah Strickland sebelum keadaan berjaya dikawal.
Sejak awal sidang media, suasana di Prudential Center sudah pun tegang dengan kawalan keselamatan diperketatkan, termasuk kehadiran polis bersenjata di sekitar pentas susulan kebimbangan berlakunya insiden tidak diingini.
Menambah lagi suhu panas pertembungan ini, hubungan antara Khamzat dan Strickland yang pernah menjalani latihan bersama dilihat semakin retak selepas beberapa kenyataan sensitif dikeluarkan Strickland sejak beberapa bulan lalu.
UFC sendiri menyifatkan insiden berkenaan sebagai sesuatu yang “tidak dapat dielakkan” berdasarkan ketegangan yang berlarutan sepanjang minggu promosi pertarungan.
Sebagai rekod, Khamzat, 31, hadir ke UFC 328 dengan rekod sempurna selepas memenangi kesemua 15 pertarungan profesionalnya, termasuk enam menerusi knockout (KO) dan enam lagi melalui submission.
Daripada jumlah itu, sembilan kemenangan diraih pada pusingan pertama, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan middleweight.
Lebih menggerunkan, purata tempoh perlawanannya hanya 8 minit 11 saat dengan beberapa kemenangan pantas termasuk kemenangan KO ke atas Rhys McKee dalam masa 17 saat dan kemenangan menerusi kuncian terhadap Li Jingliang.
Sungguhpun begitu, Strickland bukan lawan mudah digugat dengan rekod 30 kemenangan dan tujuh kekalahan, selain gaya serangan agresif serta ketahanan tinggi menyerap asakan sepanjang lima pusingan.
Petarung Amerika Syarikat itu pernah mencipta kejutan apabila menewaskan Israel Adesanya di UFC 293 pada September 2023 untuk merampas gelaran middleweight.



