SKUAD sepak takraw negara mengambil langkah proaktif dengan melakukan rombakan posisi serta tambahan pemain bagi memperkemaskan lagi skuad kuadran menjelang saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 16 hingga 23 Mei ini.
Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun berkata, beliau melihat keperluan mendesak untuk meningkatkan kualiti pasukan acara kuadran susulan prestasi yang kurang memuaskan pada Sukan SEA sebelum ini bagi memastikan skuad negara lebih berdaya saing di laman sendiri.
“Selepas melihat prestasi pada Sukan SEA lalu, kami merasakan skuad kuadran perlu berada pada tahap lebih baik untuk bersaing di laman sendiri.
“Dari segi momentum, memang ada peningkatan dalam kalangan pemain kuadran sepanjang kem latihan kali ini. Namun bagi saya, tahap itu masih belum mencukupi untuk membentuk sebuah pasukan yang benar-benar mantap dan konsisten.
“Saya berharap pada minggu terakhir latihan ini, para pemain mampu meningkatkan lagi prestasi dari semasa ke semasa supaya pasukan dapat mencapai tahap yang kami sasarkan,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, skuad negara menamatkan kemarau kejuaraan acara regu berpasukan selepas menewaskan musuh tradisi Thailand 2-0 pada perlawanan akhir Sukan SEA 2025.
Kejayaan tersebut sekali gus menamatkan penantian selama 34 tahun untuk menjulang kejuaraan regu berpasukan, yang kali terakhir dimenangi pada temasya Sukan SEA 1991 di Manila.
Mengulas lanjut mengenai taktikal, Ahmad Jais menjelaskan bahawa acara kuadran menuntut aspek pertahanan yang jauh lebih mantap berbanding serangan.
Justeru, pihaknya telah mengenal pasti kelemahan tersebut dan bakal melakukan pertukaran posisi bagi apit kanan bagi menyukarkan pihak lawan melakukan hadangan.
“Elemen-elemen ini telah kita praktikkan dalam latihan. Kita juga banyak melakukan analisis video bersama pemain serta rakan-rakan daripada Institut Sukan Negara (ISN).
“Saya percaya dengan perancangan yang dibuat, pasukan kuadran kita mampu memberikan saingan yang lebih baik berbanding prestasi tempoh hari. Kita sama-sama harapkan pasukan kuadran mampu melangkah ke peringkat yang lebih tinggi pada saingan kali ini,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysa (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan meletakkan meletakkan sasaran awal untuk pasukan negara layak ke final dalam acara regu, regu berpasukan dan kuadran.
“Kalau kita lihat acara kuadran ini, semua negara seimbang kerana banyak bergantung kepada taktikal. Sebab itu kita perlu cepat memperbaiki kelemahan terutama dari segi blocking tiga pemain,” katanya.
Berdasarkan undian Piala Dunia Sepak Takraw 2026, Malaysia selaku juara bertahan acara regu diletakkan dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Singapura.
Bagi acara regu berpasukan, skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama India dan Myanmar, manakala skuad kuadran pula akan berdepan laluan getir dalam Kumpulan C yang turut dihuni India, Korea Selatan dan Singapura.



