
Aksi berkenaan menjadi tular dan diikuti oleh murid. Gambar hiasan Agensi
JAKARTA – Seorang murid Tahun Satu di sebuah sekolah rendah di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, maut selepas dipercayai meniru aksi gaya bebas daripada permainan dalam talian Free Fire yang tular di media sosial.
Mangsa, Hamad Izan Wadi, merupakan murid Sekolah Rendah Negeri 3 Lenek Baru di Desa Lenek Baru, daerah Lenek.
Ketua Polis Subsektor Lenek, Ipda Alam Prima Yogi berkata, mangsa meninggal dunia pada Ahad lalu selepas mengalami kecederaan serius pada bahagian leher.
“Mangsa masih kelas satu sekolah rendah dan meninggal dunia pada 3 Mei lalu.
“Beliau meninggal dunia selepas melakukan aksi gaya bebas yang sedang tular,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Menurut Yogi, mangsa sempat dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas mengalami patah leher.
Yogi berkata, aksi gaya bebas itu sedang tular di media sosial dan dipercayai menjadi ikutan kanak-kanak.
Beliau berkata, aksi ekstrem tersebut dikaitkan dengan salah satu permainan dalam talian popular yang memaparkan gaya tertentu dan kemudian ditiru oleh pengguna muda.
“Ada permainan dalam talian yang memaparkan gaya ekstrem dan itu yang diikuti oleh kanak-kanak sekarang,” katanya.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan terhadap pengaruh kandungan digital dan cabaran tular yang mudah ditiru kanak-kanak tanpa memahami risiko sebenar.
Pihak berkuasa turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap aktiviti anak-anak di media sosial serta permainan dalam talian, terutama kandungan yang memaparkan aksi berbahaya.
Pemantauan ibu bapa dianggap penting bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada aksi berisiko yang boleh mengancam keselamatan diri.-Agensi



