saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Arena ragbi negara berduka apabila bekas pemain kebangsaan yang pernah menghadiahkan pingat emas buat Malaysia di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Mohamad Khairul Abdillah Ramli dilaporkan meninggal dunia, hari ini.
Berita pemergian Allahyarham atau lebih dikenali sebagai Myko disahkan menerusi kenyataan rasmi Ragbi Malaysia (MR).
Menurut kenyataan itu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan pulang ke Kelantan.
“Dukacita dimaklumkan bahawa Mohamad Khairul Abdillah, bekas pemain kebangsaan, pemain skuad Piala Agong Kelantan 2026 serta pemain skuad Bunga Raya 7s yang pernah menyumbang pingat emas buat Malaysia di temasya Sukan Sea 2017, telah menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan pulang ke Kelantan.
“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat arena ragbi negara dan negeri Kelantan.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga serta sahabat handai Allahyarham. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini,” menurut kenyataan itu.
Selain pernah menyarung jersi kebangsaan, Allahyarham turut aktif bersama skuad ragbi Kelantan dan terus memberi sumbangan kepada pembangunan sukan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




