BARU sahaja menemui penonton, filem biopik Michael Jackson, Michael berjaya mengutip 1.1 billion USD di seluruh dunia. Angka itu menjadikan filem itu sebagai naskhah biopik muzik dengan kutipan tertinggi dalam sejarah mengalahkan Bohemian Rhapsody pada 2018. Bagaimanapun, filem Michael Jackson berdepan dengan kontroversi membuatkan pihak produksi terpaksa memotong banyak babak bagi menjaga sensitiviti.
Babak yang dimaksudkan termasuklah kontroversi gangguan seksual antara Michael Jackson dengan keluarga Jordan Chandler. Sepatutnya ada babak Michael memandang ke cermin dan ada serbuan polis membuatkannya dilayan kasar. Produksi merujuk kepada klausa perjanjian pada 1994 melarang sebarang gambar atau rujukan mengenai Chandler.
Selain filem biopik Michael Jackson, berikut adalah antara beberapa filem yang pernah melalui babak suntingan besar-besaran.
Blade Runner (1982)
Filem sains fiksyen ini adalah mangsa sebenar sebuah suntingan. Versi asal yang ditayangkan di pawagam pada tahun 1982 telah dipotong mengikut kehendak eksekutif studio yang mahukan pengakhiran bahagia dan menambah suara latar (voiceover) Harrison Ford yang membosankan.
Ridley Scott sangat benci dengan versi tersebut. Sejak itu, filem ini mempunyai sekurang-kurangnya tujuh versi berbeza yang beredar di pasaran. Hanya pada 2007, melalui The Final Cut, Scott akhirnya berjaya mempersembahkan visi asalnya tanpa gangguan mana-mana pihak luar.
Kingdom of Heaven (2005)
Asalnya pengarah filem ini mahu hasilkan sebuah filem menceritakan sejarah Perang Salib namun pihak studio risau tidak dapat sambutan. Mereka kemudian memotong 45 minit daripada keseluruhan durasi awal. Hasilnya, plot filem seperti berlompang dan memusnahkan hampir semua reputasi filem. Peminat Scott mengatakan naskhah asal pengarah itu sebelum dipotong adalah sebuah ‘masterpiece’.
Justice League (2017)
Filem ini pada asalnya diarahkan oleh Zack Snyder, namun beliau mengundurkan diri saat akhir akibat tragedi kehilangan anak perempuannya. Kemudian Joss Whedon dipilih menggantikan posisi tersebut menyebabkan naskhah penggambaran asal dirombak, dilakukan penggambaran semula sehingga 80 peratus. Apakan daya, filem itu menjadi hambar, lawak tidak kena sekali gus menimbulkan kemarahan peminat.
Suicide Squad (2016)
Ramai penonton kecewa apabila watak Joker lakonan Jared Leto hanya muncul kurang 10 minit, sedangkan promosi filem menunjukkan dia adalah watak utama. Rupanya menerusi satu temu ramah, dia sendiri terkejut kerana banyak adegan lakonannya yang dipotong. Katanya, pihak studio panik dengan sambutan dingin filem Batman v Superman dan mengarahkan editor syarikat untuk menyunting semula filem ini supaya menjadi lebih ceria membuatkan mereka membuang banyak babak gelap yang serius.




