PETALING JAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di lima empangan susulan penyusutan paras air empangan yang kini berada pada tahap waspada dan kritikal.
Nadma dalam kenyataan berkata, lokasi tumpuan adalah kepada empangan Timah Tasoh di Perlis dan empat kawasan empangan di kedah iaitu Ahning, Pedu, Beris dan Muda.
Katanya, NADMA telah menyelaras pelaksanaan dua siri OPA iaitu dari 10 hingga 12 Mei 2026 dan 17 hingga 19 Mei 2026.
“OPA dilaksanakan di Kedah dan Perlis sebagai langkah segera mendepani situasi penyusutan paras air empangan yang kini berada pada tahap waspada dan kritikal.
“Seawal jam 8 pagi tadi, Pasukan Teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah membuat bancuhan air garam dan loading dalam pesawat. Pasukan OPA juga diberi taklimat pelaksanaan kawasan operasi sebagai persediaan sebelum penerbangan.
“Operasi pada hari ini yang membawa muatan 4 tong bersamaan 6,000 liter larutan garam menggunakan pesawat C-130 milik TUDM,” katanya hari ini.
Tambah Nadma, pelaksanaan OPA ini adalah sebagai salah satu usaha bagi membantu meningkatkan paras air empangan daripada terus menyusut.
“Keadaan ini dikhuatiri boleh mengakibatkan bekalan air bagi sektor pertanian serta penggunaan domestik di kawasan utara terjejas.
“Walaupun dalam beberapa hari kebelakangan ini terdapat hujan yang agak banyak di kawasan utara, namun kuantiti air hujan yang masuk ke dalam empangan adalah sangat minimum,” katanya. – UTUSAN




