Beijing: Bapa Wu Yize mendedahkan dia sanggup menjual rumah keluarga dan menutup perniagaan kecil mereka demi membiayai perjalanan anaknya menjadi juara dunia snuker.
Yize, 22, menewaskan Shaun Murphy 18-17 dalam aksi final mendebarkan di Crucible Theatre, Sheffield, minggu lalu.
Pertembungan epik itu menjadi final pertama kejohanan yang berlanjutan hingga frame ke-35 sejak 2002, sekali gus membolehkan Yize muncul juara dunia kedua termuda dalam sejarah sambil membawa pulang hadiah lumayan £500,000 bersama trofi paling berprestij dalam sukan tersebut.
Yize juga menjadi pemain China kedua berturut-turut memenangi gelaran dunia selepas kejayaan bersejarah Zhao Xintong pada 2025 sebagai pemain China pertama menjulang trofi itu.
Namun semua kejayaan tersebut tidak mungkin berlaku tanpa pengorbanan ibu bapanya, khususnya pengorbanan besar dari segi kewangan oleh bapanya.
Satu tanda pagar di platform media sosial China, Weibo mengenai tindakan bapa Wu menjual rumah keluarga mereka di Lanzhou, barat laut China, demi melabur dalam impian snuker anaknya menjadi tular selepas kemenangan tersebut, dengan meraih 18 juta tontonan.
Bapa Wu turut menutup kedai antiknya supaya dapat mengembara bersama anaknya ke seluruh negara sebelum mereka akhirnya berpindah bersama ke Sheffield.
Ibu bapa sensasi snuker itu dilihat menitiskan air mata ketika majlis penyampaian trofi apabila Yize menyifatkan mereka sebagai juara sebenar.
Menurutnya: “Sejak saya membuat keputusan untuk berhenti sekolah, ayah sentiasa berada di sisi saya. Ibu juga melalui banyak perkara selama ini. Mereka adalah sumber kekuatan dan saya sangat sayangkan mereka.”
Kebangkitan pemain China dalam arena snuker dunia sejak kebelakangan ini turut mencetuskan peningkatan besar populariti sukan itu di negara tersebut, seperti dapat dilihat menerusi sambutan luar biasa terhadap kejayaan Yize selepas final di Sheffield.
Di media sosial China, tanda pagar “Wu Yize menjuarai Kejohanan Dunia” mengumpul lebih 40 juta tontonan di Weibo dan sempat menduduki carta teratas topik trending platform itu.
Sekeping gambar dari tahun 2012 yang menunjukkan Wu ketika berusia lapan tahun bergambar bersama legenda snuker Stephen Hendry di Lanzhou turut kembali tular, dengan tanda pagar berkaitan meraih 2.9 juta tontonan.
Sokongan dalam talian juga membanjiri media sosial daripada pemain snuker China lain.
Juara dunia tahun lalu, Zhao Xintong, yang tersingkir kepada Murphy dalam kejohanan kali ini, menulis di media sosial: “Inilah snuker China, tahniah Wu Yize.”
Perintis snuker China, Ding Junhui, yang pernah mara ke final dunia pada 2016, pula menulis di Weibo: “Ini bukan sekadar satu kejayaan besar, tetapi era kami kini semakin tiba! Saya gembira untuk kamu dan bangga kerana snuker China mampu sampai ke tahap ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




