
Keadaan motosikal yang tergantung di palang lampu isyarat. Foto Agensi
TORONTO – Seorang penunggang motosikal cedera teruk selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di British Columbia, Kanada pada Sabtu petang.
Kejadian berlaku sebelum jam 3 petang waktu tempatan di kawasan Scott Road berhampiran 72nd Avenue dan 120th Street, antara bandar Surrey dan Delta.
Menurut Polis Delta, mangsa mengalami kecederaan serius namun tidak mengancam nyawa dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Pemandu kereta sedan yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan.
Kemalangan tersebut menarik perhatian ramai selepas motosikal mangsa dilihat tergantung pada palang lampu isyarat di atas persimpangan berkenaan.
Beberapa orang awam berhenti untuk melihat dan merakam kejadian ketika pasukan kecemasan menjalankan kerja-kerja di lokasi.
Kemalangan itu turut menyebabkan gangguan trafik besar apabila sebahagian laluan Scott Road ditutup sementara bagi membolehkan serpihan kemalangan serta kenderaan rosak dialihkan.
Seorang saksi, William Chan berkata, beliau pada mulanya hanya melihat sebuah kereta rosak di tengah persimpangan.
Namun, beliau terkejut apabila mendongak dan mendapati sebuah motosikal berada di atas palang lampu isyarat.
“Saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini. Macam dalam filem,” katanya.
Seorang lagi saksi, Jevon Ryan berkata, beliau hairan bagaimana motosikal itu boleh tercampak dan tersangkut pada struktur lampu isyarat dengan cara sedemikian.
Anggota bomba Delta memaklumkan mereka membantu polis dan petugas perubatan kecemasan dalam memberi rawatan kepada mangsa, memastikan keselamatan lokasi serta menurunkan motosikal dari palang lampu isyarat.
Pihak berkuasa belum mendedahkan punca kemalangan tersebut dan siasatan masih dijalankan. – Agensi



