Remaja ditemukan lemas ketika mandi di air terjun

Remaja ditemukan lemas ketika mandi di air terjun

am@hmetro.com.my

Tawau: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemukan lemas ketika mandi di Rainforest Waterfall, Taman Perwira di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Aiman Shahrizat, dipercayai mandi bersama 13 rakannya di kawasan air terjun berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.45 petang sebelum lima anggota bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, lokasi kejadian terletak kira-kira 21 kilometer dari balai dan operasi turut berdepan kesukaran berikutan liputan komunikasi yang terhad di kawasan air terjun berkenaan.

“Setibanya di lokasi beberapa minit kemudian, mangsa dipercayai sudah ditemukan oleh orang awam dan penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Maklumat awal mendapati mangsa dipercayai tidak pandai berenang ketika mandi di kawasan air terjun berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Jemishin berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 6.38 petang.

Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.05 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top