Padah sakan mekap, lepas tangan ketika memandu

Padah sakan mekap, lepas tangan ketika memandu

Beijing: Pihak berkuasa trafik di di timur China, baru-baru ini, mendenda seorang wanita kerana memakai mekap dan menari ketika memandu.

Bagaimanapun, wanita dikenali Lin itu memberi alasan bahawa sistem bantuan pemandu keretanya memandu lebih baik daripada pemanduannya.

The Straits Times memetik CCTV News melaporkan, Lin yang berasal dari Wenzhou di wilayah Zhejiang, berulang kali menyiarkan video dalam talian mempamerkan pemanduan dibantu sistem kenderaannya.

Menerusi klip video yang dikongsi secara meluas, Lin dilihat melalui terowong dengan sistem itu diaktifkan, melepaskan kedua belah tangan dari stereng, sambil memakai solekan asas dan gincu, memainkan muzik dan menikmati makanan ringan.

Dia memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) AITO bernilai kira-kira 500,000 yuan (kira-kira RM289,330) iaitu sebahagian daripada jenama kenderaan pintar premium yang disokong oleh gergasi teknologi China, Huawei.

“Walaupun tangan saya melakukan perkara lain, saya masih fikir mengenai pemanduan,” kata Lin kepada pegawai.

Polis memberi amaran kepadanya bahawa situasi yang tidak dijangka, seperti yang memerlukan pertukaran lorong secara tiba-tiba, boleh berlaku pada bila-bila masa.

Katanya, sistem bantuan pemandu direka untuk keadaan jalan yang agak mudah dan tidak dapat menampung senario atau kecemasan.

“Saya tidak terfikir tentang itu kerana saya sangat mempercayai pemanduan pintar. Sebagai pemandu wanita, saya fikir ia memandu lebih baik daripada saya,” kata Lin.

Sementara pegawai polis menegaskan sistem bantuan pemanduan bukanlah pemanduan autonomi dan tidak dapat mengenal pasti setiap halangan di jalan raya.

Di bawah piawaian automasi kenderaan China, sistem bantuan pemandu hanya menawarkan sokongan stereng atau kawalan kelajuan yang terhad, seperti kawalan pelayaran adaptif.

Pemandu dikehendaki sentiasa berwaspada sepanjang masa.

Polis berkata, pemandu kenderaan jenis itu tetap bertanggungjawab apabila menggunakan fungsi sedemikian dan pelanggaran lalu lintas boleh membawa kepada denda, pembatalan lesen atau penahanan pentadbiran.

Berikutan kesalahan itu, Lin didenda 200 yuan (kira-kira RM116) dan dipotong mata daripada lesennya kerana pemanduan tak selamat.

Insiden itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial China dengan topik berkaitan menarik lebih 10 juta tontonan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top