am@hmetro.com.my
Tenom: Mayat seorang pelajar lelaki ditemukan terapung di Sungai Padas berhampiran Empangan Hydro Elektrik Pangie, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 19 tahun itu ditemui orang awam sebelum maklumat disalurkan kepada pihak polis kira-kira jam 8.54 pagi.
Difahamkan, mangsa sebelum ini dilaporkan keluar dari asrama sebuah sekolah di Kemabong sejak Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tenom, Asisten Superintendan Polis Ahmad Razali Shaari berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan.
“Sebaik tiba di lokasi, polis menemukan mayat mangsa dalam keadaan tertiarap di tepi sungai sebelum dibawa ke Hospital Tenom untuk tindakan lanjut.
“Hasil semakan mendapati terdapat laporan dibuat berhubung kehilangan seorang pelajar dari asrama sekolah berkenaan pada 10 Mei lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pengecaman awal oleh pihak warden asrama mendapati pakaian dipakai mangsa menyerupai pakaian asrama sekolah terbabit.
Katanya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian dan hospital mendapati tiada kecederaan berunsurkan jenayah ditemukan pada tubuh mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




