Kulusevski terlepas Piala Dunia

Kulusevski terlepas Piala Dunia

Stockholm: Pengendali Sweden, Graham Potter mengumumkan skuad Piala Dunia hari ini tanpa menyenaraikan penyerang Tottenham Hotspur, Dejan Kulusevski yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut.

Kulusevski yang tidak beraksi hampir setahun sebelum ini masih menjalani proses pemulihan dan gagal kembali cergas tepat pada masanya menjelang Piala Dunia 2026.

Walaupun ramai menjangkakan pemain berusia 26 tahun itu mungkin tetap dipanggil jika memiliki peluang kecil untuk kembali beraksi, Potter menegaskan beliau tidak mahu mengambil risiko.

“Ia keputusan yang sangat sukar berdasarkan apa yang dia lalui sepanjang tahun lalu dan tahap pemulihannya ketika hanya tinggal empat setengah minggu sebelum perlawanan pertama.

“Apabila kejohanan bermula, anda tidak berada dalam situasi untuk perlahan-lahan mendapatkan kembali kecergasan pemain dalam perlawanan besar.

“Jadi sangat sukar untuk membawanya ke tahap yang kami perlukan dan sebab itu kami terpaksa membuat keputusan sukar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyerang Sweden, Alexander Isak turut bergelut dengan kecederaan musim ini, namun Potter yakin pemain terbabit mampu mencapai tahap terbaik sebelum kejohanan bermula.

“Kami berharap dia dapat menghabiskan musim bersama Liverpool dengan sedikit minit permainan.

“Cabaran kami adalah memastikan Alex berada pada tahap terbaik kerana jika dia mencapai prestasi sebenar, dia adalah pemain bertaraf dunia,” katanya.

Sweden sebelum ini melalui kempen kelayakan mengecewakan apabila menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan dengan hanya dua mata.

Bagaimanapun, prestasi mereka dalam Liga Negara-Negara membuka laluan ke playoff sebelum berjaya menewaskan Ukraine dan Poland untuk layak ke pusingan akhir.

“Ia sangat mengujakan dan satu penghormatan besar buat saya.

“Sokongan positif daripada penyokong sangat luar biasa dan sekarang kami mahu mencipta lebih banyak kenangan bersama di Piala Dunia,” katanya.

Sweden akan membuka kempen Kumpulan F menentang Tunisia di Guadalupe, Mexico pada 14 Jun sebelum berdepan Belanda di Houston dan Jepun di Arlington, Texas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top