Hina al-Quran: Transgender dipaksa mohon maaf, tampar diri sendiri dan cukur rambut

Hina al-Quran: Transgender dipaksa mohon maaf, tampar diri sendiri dan cukur rambut

BANGKOK – Sekumpulan umat Islam berkumpul di luar restoran di kawasan Ramkhamhaeng, di sini dipercayai untuk mendesak seorang wanita transgender supaya memohon maaf dan mencukur rambutnya kerana didakwa menghina al-Quran menerusi video penstriman langsung di media sosial.

Individu tersebut yang hanya dikenali sebagai Lor membesar dalam komuniti Muslim di Narathiwat sebelum berpindah ke Bangkok untuk bekerja.

Menurut laporan Thaiger, Lor dan beberapa rakan transgender sering menampilkan diri mereka sebagai wanita yang dianggap komuniti Muslim sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

Pertikaian itu dilaporkan bermula selepas seorang pengguna dalam talian dikenali sebagai Freece mengkritik Lor dan rakan-rakannya mengenai penampilan serta tingkah laku mereka semasa satu sesi ‘live’.

Freece membahaskan tentang agama semasa perbincangan tersebut, manakala Lor dan rakan-rakannya didakwa membalas dengan kenyataan yang menyinggung perasaan.

Lor dituduh mengubah ayat daripada al-Quran semasa ‘live’ dengan memasukkan rujukan kepada seekor anjing, yang mencetuskan kecaman daripada pengguna dalam talian, lebih-lebih lagi umat Islam.

Rakaman klip daripada siaran langsung itu kemudian tular dalam kalangan komuniti Muslim di Thailand dan luar negara.

Pengguna media sosial menggesa Lor supaya membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan tersebut, namun dia enggan berbuat demikian.

Apabila kritikan dalam talian semakin memuncak, presiden komuniti Masjid Yamilul di daerah Prawet dilaporkan mengatur satu pertemuan dengan Lor di sebuah restoran di Soi Ramkhamhaeng 53 untuk membincangkan isu tersebut.

Namun, selepas berita mengenai pertemuan itu tersebar, sekumpulan besar umat Islam berkumpul di luar restoran berkenaan.

Penunjuk perasaan menuntut Lor membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataannya semasa siaran langsung tersebut.

Laporan menyatakan bahawa Lor akhirnya bersetuju untuk memohon maaf.

Beberapa individu dalam kumpulan itu kemudian dilaporkan menuntut supaya Lor menampar diri sendiri dan mencukur rambutnya sebagai tanda penyesalan.

Keadaan menjadi semakin tegang dan Lor akhirnya akur dengan tuntutan tersebut.

Polis kemudian campur tangan dan mengiringi Lor keluar daripada restoran ke balai polis bagi mengelakkan keadaan terus memuncak.

Menurut laporan, beberapa penunjuk perasaan cuba mendekati dan menyerang Lor ketika anggota polis membawanya menaiki kenderaan polis.

Video yang menunjukkan rambut Lor dicukur tersebar meluas di internet dan mencetuskan perdebatan di media sosial Thailand.

Sebahagian pengguna internet mengkritik layanan terhadap Lor dengan menyatakan bahawa memaksa seseorang mencederakan diri sendiri dan mencukur rambut adalah keterlaluan serta memalukan.

Tidak kurang juga menyatakan bahawa tindakan tersebut melanggar hak peribadinya dan mencerminkan diskriminasi berkaitan identiti jantina.

Sementara itu, segelintir pengguna media sosial berpendapat bahawa isu utama adalah penghinaan terhadap al-Quran, bukannya identiti atau ekspresi jantina dalam kalangan masyarakat Muslim.

Setakat ini, pihak polis masih belum mengumumkan sama ada sebarang tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam konfrontasi tersebut atau penstriman langsung itu.

Difahamkan, selepas permohonan maaf, Lor kembali ke fitrah asalnya iaitu lelaki dan dilihat mengalunkan ayat-atau suci al-Quran kerana sudah bertaubat.

Scroll to Top