Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton negara, Datin Seri Wong Mew Choo dilantik sebagai duta baharu jenama penjagaan kulit I Mishang yang kini melebarkan sayap ke pasaran Malaysia selepas lebih 12 tahun beroperasi di China.
Majlis pengumuman pelantikan itu turut mencuri perhatian apabila suaminya, legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei hadir bersama keluarga bagi memberi sokongan selain meraikan ulang tahun kelahiran Mew Choo.
Jenama I Mishang yang berada di bawah syarikat AI SEE LIFE tampil dengan konsep penjagaan kulit profesional berteraskan sistem kesihatan dan gaya hidup holistik.
Menurut Mew Choo, keputusan menerima tawaran sebagai duta bukan dibuat atas faktor komersial semata mata, sebaliknya tertarik dengan misi sosial yang dibawa oleh jenama berkenaan.
“Saya difahamkan mereka mahu membantu masyarakat terutama ibu tunggal dan golongan OKU menerusi latihan percuma serta peluang pekerjaan.
“Itu yang membuatkan saya bersetuju bersama mereka kerana penglibatan ini boleh memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Tambahnya, sebelum ini dia lebih memberi fokus kepada keluarga dan jarang menerima tawaran komersial selepas bersara daripada arena badminton negara.
“Bukan kerana wang saya terima tawaran ini, tetapi kerana nilai dan tanggungjawab sosial yang diketengahkan syarikat ini,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa selebriti tanah air termasuk Emma Maembong, Datuk Joe Lee dan Datin Win Lock yang sama sama meraikan pelancaran berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif I Mishang, Sheri Yap berkata, jenama itu bukan sekadar menumpukan kepada produk kecantikan semata mata, sebaliknya membangunkan ekosistem gaya hidup dan peluang ekonomi kepada masyarakat.
Katanya, syarikat itu komited membantu golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) melalui program latihan kemahiran serta peluang pekerjaan dalam industri kecantikan.
“Selagi mereka mahu belajar dan berusaha, kami bersedia melatih mereka menjadi pakar kecantikan profesional selain membantu menjana pendapatan stabil,” katanya.
Menurutnya lagi, I Mishang menitikberatkan aspek keselamatan produk dengan prinsip tanpa hormon, tanpa logam berat dan tanpa bahan terlarang bagi memberi keyakinan kepada pengguna.
Beliau berkata, Malaysia dipilih sebagai pasaran utama kerana perkembangan pesat industri penjagaan kulit selain pengguna yang semakin peka terhadap keberkesanan produk.
“Kami mensasarkan pengguna bandar berusia antara 20 hingga 45 tahun terutama mereka yang mementingkan penjagaan kulit dan gaya hidup sihat.
“Malaysia juga akan menjadi pintu masuk strategik untuk pengembangan jenama ini ke seluruh Asia Tenggara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




