kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) memperkukuh agenda kelestarian syarikat menerusi perjanjian pembelian tenaga (PPA) jangka panjang bersama Pekat Group Berhad.
Ia bagi mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di fasiliti pengeluarannya di DLMI@Enstek.
Menerusi kerjasama itu, anak syarikat milik penuh Pekat, Pekat Solar Sdn Bhd akan mereka bentuk, memasang, memiliki dan mengendalikan sistem solar bumbung di lokasi berkenaan, manakala DLMI membeli tenaga elektrik yang dijana.
Pengarah Urusan DLMI, Veronika Utami berkata, tanggungjawab syarikat bukan sekadar menyediakan produk tenusu berkualiti dan berkhasiat kepada rakyat Malaysia, tetapi turut memastikan operasi dijalankan secara mampan untuk masa depan.
“Kerjasama ini mencerminkan langkah strategik kami dalam memperkukuh operasi syarikat, mengurangkan jejak alam sekitar dan pada masa sama, memastikan daya tahan dalam landskap tenaga yang semakin berubah,” katanya.
Menurutnya, model itu membolehkan DLMI beralih kepada tenaga boleh diperbaharui tanpa memerlukan pelaburan modal awal, selain membantu meningkatkan kecekapan operasi serta kestabilan kos tenaga dalam jangka panjang.
Projek berkenaan membabitkan pemasangan panel solar di beberapa bangunan utama termasuk Pusat Pengedaran (DC), bangunan pentadbiran dan kawasan parkir pekerja.
Apabila siap beroperasi kelak, sistem itu dijangka menjana kira-kira 4.9 juta kilowatt-jam (kWh) tenaga elektrik boleh diperbaharui setiap tahun, sekali gus menampung sehingga 24 peratus daripada keseluruhan penggunaan elektrik kilang terbabit.
Pembinaan projek dijadual bermula Jun 2026 dengan operasi penuh dijangka bermula Disember tahun sama.
Perjanjian selama 15 tahun itu turut membantu DLMI mengurus ketidaktentuan kos tenaga selain menyokong kesinambungan operasi syarikat dalam jangka panjang.
Inisiatif itu juga menyokong sasaran DLMI untuk mengurangkan pelepasan karbon dan intensiti tenaga sebanyak 30 peratus menjelang 2030, selain selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
© New Straits Times Press (M) Bhd



