
Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia serta petrol RON95 tanpa subsidi dan RON97 bagi tempoh 14 Mei hingga 20 Mei 2026 diturunkan susulan penurunan harga pasaran antarabangsa. Gambar hiasan
SHAH ALAM – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan petrol RON95 tanpa subsidi serta RON97 bagi tempoh 14 Mei hingga 20 Mei 2026 diturunkan susulan penurunan harga pasaran antarabangsa.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, penetapan harga itu dibuat selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
Menurut kementerian itu, harga runcit RON97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM4.70 berbanding RM4.90 seliter pada 13 Mei lalu.
“RON95 pula turun 15 sen seliter kepada RM3.87 berbanding RM4.02 seliter sebelum ini.
“Bagi diesel di Semenanjung Malaysia, harga runcit diturunkan 30 sen seliter kepada RM4.87 berbanding RM5.17 seliter,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Kementerian Kewangan berkata, meskipun berlaku penurunan, harga bahan api ketika ini masih jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum konflik di Asia Barat.
Menurutnya, harga minyak mentah masih mencecah sekitar AS$100 setong berbanding sekitar AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik berlaku.
Jelasnya, harga runcit bahan api turut dipengaruhi lonjakan kos logistik dan insurans susulan peningkatan risiko di zon konflik.
“Risiko gangguan laluan di Selat Hormuz juga terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global sekali gus mempengaruhi harga pasaran,” katanya.
Dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu, Kerajaan Madani menyeru rakyat supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara.
Pada masa sama, kerajaan terus mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar bagi membantu memelihara kelangsungan hidup rakyat dan operasi sektor tertentu.
Harga subsidi RON95 di bawah BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.
Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) turut dikekalkan pada RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal RM2.15 seliter.
Kementerian itu berkata, kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.



