Radius pencarian mangsa bot karam di Pulau Pangkor diperluas – APMM

Radius pencarian mangsa bot karam di Pulau Pangkor diperluas – APMM

Lumut: Radius pencarian mangsa kejadian bot karam di perairan Pulau Pangkor diperluas hingga 343 batu nautika persegi pada hari ketiga operasi, bagi mengesan tujuh lagi pendatang tanpa izin warga Indonesia yang masih hilang di kawasan perairan berkenaan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, peluasan kawasan pencarian itu dibuat berikutan keperluan operasi semasa yang memfokuskan kawasan berpotensi berdasarkan penemuan kebanyakan mangsa sebelum ini.

“Fokus utama pencarian hari ini adalah ke arah utara perairan (Pulau Pangkor) berikutan penemuan sebelum ini yang menunjukkan mangsa hanyut ke kawasan tersebut.

“Untuk hari ketiga operasi (setakat 2.30 petang), masih tiada mayat dijumpai, namun APMM Perak, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus mempergiatkan pencarian di sektor yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, di sini, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, pencarian berdepan dengan beberapa cabaran termasuk arus laut yang boleh menyebabkan mangsa hanyut lebih jauh dari lokasi asal kejadian.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha pencarian hari ini akan diteruskan hingga 7 malam sebelum operasi disambung semula esok bagi mengesan semua mangsa terlibat.

“Esok, operasi akan bermula pada 7 pagi hingga 7 malam dengan kekuatan aset yang sama, namun tidak menolak kemungkinan peluasan kawasan pencarian akan dilakukan mengikut keperluan semasa,” katanya.

Setakat ini, jumlah keseluruhan mangsa yang ditemukan ialah 30 orang, dengan 23 mangsa berjaya diselamatkan, manakala tujuh lagi ditemukan meninggal dunia sepanjang tiga hari operasi dijalankan.

Semalam, APMM Perak berjaya menyelamatkan 23 pendatang warga Indonesia, selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pangkor dekat Lumut, pada Isnin.

Bot terbabit dipercayai membawa 37 pendatang tanpa izin dari Indonesia dan dikendalikan kru warga Myanmar yang bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke Malaysia melibatkan beberapa destinasi dipercayai Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top