SHAH ALAM – Semua pihak termasuk pemimpin, pendakwah atau tokoh masyarakat perlu lebih cermat dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan melibatkan sejarah sahabat Nabi Muhammad SAW bagi mengelakkan salah faham yang boleh mencetuskan kontroversi.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, dalam adab ilmu dan dakwah, niat yang baik sahaja belum mencukupi sekiranya lafaz yang digunakan boleh membawa kefahaman yang salah atau menjejaskan kemuliaan tokoh-tokoh agama dimuliakan syarak.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh kumpulan berkenaan sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan agama dan sejarah Islam.
“Pertama, seseorang hendaklah membezakan antara semangat berpidato dengan disiplin ilmu. Tidak semua analogi atau bahasa popular sesuai digunakan dalam isu agama, terutama apabila melibatkan Nabi SAW, para sahabat, ahli keluarga baginda dan simbol-simbol agama.
“Kedua, apabila sesuatu perkara bukan bidang kepakaran khusus seseorang, maka sewajarnya dibuat semakan terlebih dahulu dengan ahli ilmu atau sumber yang muktabar.
“Ketiga, tokoh masyarakat dan pemimpin perlu memahami bahawa setiap ucapan mereka mempunyai kesan besar kepada masyarakat awam.
“Kadangkala satu ungkapan yang dimaksudkan sebagai gurauan, analogi atau penyederhanaan sejarah boleh menimbulkan polemik, salah faham dan perpecahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebelum ini kecam pelbagai pihak susulan kenyataan beliau yang didakwa mempersendakan sahabat Nabi Muhammad SAW dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Ahli Parlimen Pasir Puteh itu bagaimanapun menarik balik kenyataan beliau dan membuat permohonan maaf terbuka.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki berkata, sahabat Nabi Muhammad SAW mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Islam.
“Para ulama sangat menekankan adab tinggi ketika menyebut sejarah para sahabat, sekalipun ketika menceritakan latar belakang mereka sebelum Islam.
“Sebab itu, penggunaan istilah yang keras, sensitif atau berpotensi merendahkan martabat mereka walaupun dengan niat penerangan sejarah sewajarnya dielakkan, khususnya dalam ceramah umum yang didengari masyarakat pelbagai latar belakang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sukki memuji tindakan Nik Muhammad Zawawi yang membuat permohonan maaf atas kekhilafan tersebut.
Menurutnya, dalam menangani sesuatu polemik berkaitan agama, sikap berjiwa besar untuk mengakui kekhilafan dan memohon maaf merupakan akhlak yang sangat terpuji dalam Islam.
“Tindakan Nik Muhammad Zawawi menarik balik kenyataannya serta memohon maaf secara terbuka berhubung isu yang menyentuh sensitiviti terhadap Sahabat Nabi Muhammad SAW wajar dilihat sebagai suatu sikap bertanggungjawab dan matang demi menjaga keharmonian masyarakat serta kemuliaan tokoh-tokoh Islam,” katanya.



