
Tang Jie (kanan) dan Toh Ee Wei dinobatkan Atlet Terbaik Anugerah SAM 2025. Foto: Bernama
GANDINGAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei terus mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2025, selepas mencipta sejarah sebagai pasangan pertama Malaysia bergelar juara dunia.
Beregu keempat dunia itu menewaskan empat calon lain iaitu ratu wushu negara Tan Cheong Min, Emma Firyana Saroji (boling padang), Muhd Rafiq Ismail (tenpin boling), dan Mohd Abdul Latif Maxzakir (silat).
Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah tersendiri apabila muncul beregu campuran pertama dan gandingan ketiga dari sukan badminton yang meraih anugerah Atlet Terbaik SAM selepas dua beregu lelaki iaitu Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1995, 1996) dan Koo Kean Kiat-Tan Boon Heong (2006).
Atlet lain dari sukan badminton pernah dinobatkan Atlet Terbaik Anugerah SAM-100 ialah Datin Wong Mew Choo (2007) dan Datuk Seri Lee Chong Wei (2008).
Ee Wei ketika ditemui berkata, mereka amat bersyukur atas penghargaan yang diterima.
“Kami sangat bersyukur dengan anugerah ini. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan.
“Kami akan terus berusaha memberikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Sementara itu, jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin terus mengekalkan reputasi luar biasa apabila dinobatkan sebagai Atlet Para Terbaik selepas meraih gelaran juara dunia buat kali keempat berturut-turut di Kejohanan Powerlifting Dunia 2025 di Kaherah, Mesir.
Bonnie menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pembakar semangat untuk terus mencipta kejayaan pada masa hadapan.
“Anugerah ini memberi motivasi untuk saya terus berusaha dan memberikan yang terbaik selepas ini,” katanya.
Untuk rekod, ini merupakan kali keempat Bonnie menerima pengiktirafan berkenaan, menyamai pencapaian jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang sebagai antara penerima terbanyak anugerah tersebut.
Pemenang masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Tafiq Johari.



