
Prabowo ketika memberi ucapan sempena majlis penyerahan wang rampasan hasil operasi Pasukan Petugas Penertiban Kawasan Hutan (Satgas PKH) di Jakarta pada Rabu. Foto Agensi
JAKARTA – Presiden Prabowo Subianto menzahirkan kebanggaannya apabila gaji hakim di Indonesia kini didakwa lebih tinggi berbanding negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura selepas kerajaan pentadbirannya melaksanakan kenaikan sehingga 280 peratus.
Menurut Prabowo, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Mahkamah Agung Indonesia, Sunarto, selepas menghadiri pertemuan bersama Ketua-Ketua Mahkamah Agung Negara ASEAN.
Beliau berkata, Ketua Mahkamah Agung Malaysia dilaporkan memuji Indonesia kerana buat pertama kali gaji hakim republik itu melepasi kadar diterima hakim di Malaysia.
“Ketua Mahkamah Agung Malaysia menyampaikan kepada Ketua Mahkamah Agung Indonesia bahawa beliau kagum dengan Indonesia.
“Katanya, buat pertama kali gaji hakim Indonesia lebih tinggi daripada gaji hakim Malaysia,” katanya ketika menghadiri majlis penyerahan wang rampasan hasil operasi Pasukan Petugas Penertiban Kawasan Hutan (Satgas PKH) di Jakarta pada Rabu.
Prabowo turut mendakwa gaji hakim paling junior di Indonesia kini hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding hakim junior di Malaysia.
Menurut beliau, keputusan menaikkan gaji hakim dibuat bagi memastikan institusi kehakiman bebas daripada pengaruh rasuah dan sogokan.
“Kami memilih mereka dengan baik dan mereka perlu diberikan pendapatan mencukupi supaya hakim-hakim kita tidak boleh disogok,” katanya.
Selain kenaikan gaji, kerajaan Indonesia turut berjanji menyediakan rumah rasmi yang lebih selesa kepada kira-kira 8,900 hakim di seluruh negara.
Prabowo berkata, langkah itu penting kerana ramai hakim perlu berpindah mengikut lokasi penugasan di pelbagai daerah dan wilayah.
“Saya juga sudah mengarahkan Menteri Perumahan Rakyat menyediakan rumah untuk semua hakim kerana elaun perumahan mereka ketika ini masih rendah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran keras kepada hakim dan petugas mahkamah supaya tidak cuai dalam menjalankan amanah kerana rakyat kini semakin peka dan sentiasa memantau setiap keputusan mahkamah.
Menurutnya, keadilan tidak boleh sekadar menjadi slogan, sebaliknya setiap keputusan perlu benar-benar memberi rasa aman kepada masyarakat. – Agensi



