‘Pengumuman bersama Nik Nazmi pada Ahad ini bukan biasa-biasa’ – Rafizi

‘Pengumuman bersama Nik Nazmi pada Ahad ini bukan biasa-biasa’ – Rafizi

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi isyarat bahawa pengumuman yang akan dibuatnya bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Ahad ini bukan satu pengumuman biasa, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi politik.

Beliau berkata, pengumuman tersebut dijangka mempunyai makna lebih besar berbanding kenyataan politik lazim, namun enggan memperincikan kandungan sebenar buat masa ini.

“Kalau setakat pengumuman biasa, maka saya buat dekat TikTok saja. Pengumuman ini luar biasa” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai memberi keterangan secara sukarela di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM), di sini pada Khamis.

Rafizi pada Rabu memaklumkan hala tuju baharu politik beliau bersama Nik Nazmi akan dibuat menerusi satu pengumuman di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad ini.

Menurutnya, langkah itu dibuat selepas tempoh setahun lalu memberi peluang kepada mereka untuk mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor dalam menentukan hala tuju politik.

Terdahulu, Rafizi meletakkan jawatannya sebagai menteri berkuat kuasa 17 Jun 2025 sementara Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam tiga jam selepas itu.

Ditanya mengenai telahan sesetengan pihak bahawa beliau dan Nik Nazmi tidak akan meninggal PKR, bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, ia terpulang kepada pendapat masing- masing.

“Memang menjadi satu kelebihan kepada ahli politik seperti saya untuk memastikan orang ramai dan pihak media terus tertanya-tanya sehingga hari Ahad. Jadi kemahirannya ialah memastikan orang ramai terus membuat andaian dan berspekulasi,” ujar beliau.

Ketika diasak kemungkin terdapat tokoh politik lain yang akan turut serta dalam pengumuman itu, Rafizi meminta pihak media menantikannya termasuk pelawaan gabungan parti politik lain.

“Kalau sebut sekarang tak ‘suspend’ la. Kita tunggu dahulu pengumuman sebab kita tidak boleh bercakap tentang gabungan atau apa-apa selagi belum tahu dengan jelas apa sebenarnya dirancangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi menghabiskan masa kira-kira dua jam untuk memberi keterangan dan menyerahkan item yang didakwanya sebagai bukti.

SPRM ketika ini sedang menyiasat dakwaan pelanggaran dan penyelewengan berkaiptan pelaburan bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan Arm Holdings Inc (ARM) dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor.

Setakat ini, seramai 22 orang saksi telah dipanggil.

 

Scroll to Top