DAP Kampong Kolam sokong Anthony tanding di Pulau Pinang

DAP Kampong Kolam sokong Anthony tanding di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – DAP Cawangan Kampong Kolam mencadangkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bertanding di Pulau Pinang pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang bagi memperkukuh kedudukan parti serta memacu pembangunan negeri itu.

Resolusi berkenaan diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) cawangan tersebut yang diadakan pada Ahad.

Ia dicadangkan pengerusi cawangan tersebut, Ng Wei Aik dan disokong setiausaha cawangan, Khoo Yeong Ming.

Wei Aik berkata, Pulau Pinang sentiasa menjadi negeri barisan hadapan bagi DAP sejak era kempen Tanjong dan parti itu tidak pernah meninggalkan aspirasi untuk menjadikan negeri berkenaan sebagai kubu politiknya.

Menurutnya, keadaan kepimpinan DAP Pulau Pinang ketika ini yang didakwa berdepan ketidakseimbangan kualiti kepimpinan, persaingan puak serta budaya politik berasaskan wang memerlukan pembaharuan demi mengukuhkan parti.

“Sudah tiba masanya untuk membawa Anthony ke Pulau Pinang bagi menerajui kepimpinan negeri, memperkukuh peluang kemenangan pilihan raya dan seterusnya memacu kemajuan serta pembangunan Pulau Pinang ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Wei Aik berkata, AGM berkenaan turut meluluskan resolusi menggesa kepimpinan parti mempertimbangkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada PRN akan datang.

“Selain itu, cawangan berkenaan turut mencadangkan agar calon bagi kerusi Parlimen dan DUN di kawasan Tanjong diberikan keutamaan kepada ahli parti yang mempunyai latar belakang perjuangan di kawasan tersebut kerana lebih memahami budaya tempatan, sentimen masyarakat serta keperluan akar umbi.

“Satu lagi resolusi yang diluluskan ialah cadangan supaya parti memperkenalkan dasar mengehadkan penyandang jawatan pilihan raya kepada maksimum tiga penggal berturut-turut selaras dengan prinsip pembaharuan kepimpinan dan regenerasi politik,” katanya.

Scroll to Top