Ramallah: Perang dua tahun Israel ke atas Gaza dan peluasan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki merupakan kesinambungan daripada peristiwa Nakba, kata seorang pegawai kanan Palestin pada Khamis, ketika rakyat Palestin memperingati ulang tahun ke-78 penubuhan Israel di atas runtuhan perkampungan mereka, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Ahmad Abu Holi memberitahu Anadolu bahawa rakyat Palestin memperingati ulang tahun itu pada tahun ini “di tengah-tengah peristiwa Nakba yang masih berterusan dengan kaedah baharu.”
Abu Holi, yang juga merupakan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelarian PLO, berkata ketegangan semasa “bukanlah satu peristiwa yang berasingan, sebaliknya kesinambungan langsung daripada projek berterusan yang bertujuan mencabut akar umbi rakyat Palestin dan mengusir mereka.”
“Apa yang berlaku di Gaza adalah perang genosid yang bertujuan memusnahkan rakyat Palestin.
Peluasan penempatan haram, serangan pendatang Yahudi serta sekatan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur juga menunjukkan bahawa kami masih berada di tengah-tengah peristiwa Nakba,” katanya.
Rakyat Palestin menggunakan istilah Nakba, atau malapetaka dalam Bahasa Arab, merujuk kepada pengusiran kira-kira 800,000 rakyat Palestin pada tahun 1948 ketika Israel ditubuhkan di tanah Palestin.
Menurut angka rasmi, lebih 154,000 rakyat Palestin telah terkorban sejak itu, manakala kira-kira sejuta rakyat Palestin telah ditahan sejak tahun 1967.
Rakyat Palestin memperingati ulang tahun itu setiap tahun melalui pelbagai aktiviti di wilayah Palestin dan dalam kalangan komuniti diaspora bagi menegaskan semula komitmen mereka terhadap hak untuk pulang ke tanah air.
© New Straits Times Press (M) Bhd




