Johor Bahru: Seorang juruteknik ditemukan maut dipercayai dibunuh di dalam sebuah rumah pangsapuri di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.12 malam.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki warga tempatan berusia 33 tahun.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia kira-kira 10.50 malam (hari sama),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raub berkata polis turut menemukan sebilah pisau di sisi mangsa yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




