SNCC umum pelan strategik baharu pertahan hak rakyat Gaza esok

SNCC umum pelan strategik baharu pertahan hak rakyat Gaza esok

hafizithnin@mediaprima.com.my

Sepang: Sumud Nusantara Command Center (SNCC) bakal mengumumkan satu pelan tindakan strategik berskala besar membabitkan mobilisasi rakyat, advokasi Ahli Parlimen merentas parti, tekanan diplomatik antarabangsa serta gerakan solidariti media dan tindakan perundangan global bagi mempertahankan hak kemanusiaan di Gaza.

Pelan berkenaan yang diumumkan esok digerakkan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan Malaysia serta Ahli Parlimen merentas parti susulan perkembangan terkini misi pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, antara faktor rejim Zionis didakwa semakin agresif menggagalkan misi berkenaan adalah susulan penglibatan Malaysia dalam penggubalan Deklarasi Brussels yang dipimpin SNCC bersama Centra dan disertai Kaukus Palestin Parlimen Malaysia.

Katanya, deklarasi itu memberi tekanan antarabangsa terhadap Israel sehingga membawa kepada perubahan beberapa pendirian negara di peringkat global.

“Kita lihat selepas habisnya Deklarasi Brussels ini berlaku penculikan di depan Greece dan kali kedua implikasinya dapat kita lihat apabila Kesatuan Eropah (EU) memaklumkan mereka melaksanakan sekatan ke atas penjajah haram rejim Zionis di Tebing Barat hasil tekanan yang dipersetujui dalam Deklarasi Brussels.

“Satu gerakan baharu akan diumumkan esok membabitkan Ahli Parlimen pelbagai parti, kerajaan serta pelbagai segmen masyarakat bagi meningkatkan tekanan terhadap rejim Zionis. Ia satu tindakan strategik yang tak pernah dilakukan dan ini merentas semua, disokong oleh pihak kerajaan, dinaungi Perdana Menteri serta merentas parti,” katanya pada sidang media khas Sumud Nusantara di sini, hari ini.

Sani turut memaklumkan pelayaran fasa akhir GSF sudah bermula apabila 54 kapal berlepas dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye menuju ke Gaza.

Katanya, misi itu membabitkan hampir 500 peserta antarabangsa daripada 45 negara yang digerakkan pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan dunia.

“Seramai 29 rakyat Malaysia turut meneruskan pelayaran dalam misi berkenaan bersama peserta dari negara Nusantara lain termasuk Indonesia, Pakistan, India, Sri Lanka dan Filipina.

“Delegasi Malaysia terdiri daripada dua penganjur, dua kapten, lima pembantu kapten, lima kru, 11 pegawai perubatan, seorang kru dokumentasi, dua peserta umum dan seorang juruteknik,” katanya.

Dalam perkembangan terkini pergerakan konvoi, beliau berkata, kapal-kapal berkenaan dijangka memasuki Zon Kuning sebaik keluar daripada perairan Turkiye menuju laluan antarabangsa.

“Kita jangkakan dalam tempoh 28 hingga 30 jam akan datang akan menjadi tempoh yang sangat mencabar untuk misi kali ini. Perjalanan menuju Gaza dianggarkan mengambil masa kurang empat hari sekiranya tiada gangguan berlaku sepanjang laluan.

“Laluan dari Marmaris hingga 30 batu nautika diklasifikasikan sebagai Zon Hijau manakala kawasan antara 30 hingga 150 batu nautika diletakkan di bawah Zon Kuning,” katanya.

Menurutnya, laluan bermula 150 batu nautika hingga memasuki perairan Gaza pula dikategorikan sebagai Zon Merah dengan tahap risiko keselamatan paling kritikal sepanjang misi ini.

Mengulas kemungkinan gangguan pihak rejim Zionis, beliau berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima berkaitan gangguan dron atau tindakan ketenteraan terhadap konvoi berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pihak SNCC sentiasa bersiap siaga termasuk menghadapi kemungkinan sabotaj ketika kapal berada di laut.

“Sekiranya mereka merampas, menahan atau mencolek delegasi kita, itu akan menjadi bukti tambahan pencabulan hak asasi dan akan dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top