Sistem pertahanan peluru berpandu ‘Golden Dome’ Trump dianggar cecah AS$1.2 trilion

Sistem pertahanan peluru berpandu ‘Golden Dome’ Trump dianggar cecah AS.2 trilion

WASHINGTON – Rangkaian pertahanan peluru berpandu “Golden Dome” Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump diunjurkan menelan kos jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal, lapor Anadolu Ajansi memetik analisis yang dikeluarkan Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) pada Selasa.

Agensi itu menganggarkan kos pembangunan, pengoperasian dan penyelenggaraan sistem berkenaan bagi tempoh 20 tahun sekitar AS$1.2 trilion.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding anggaran AS$175 bilion yang dikemukakan Trump tahun lepas, tidak lama selepas beliau memegang jawatan.

Menurut CBO, sebahagian besar kos itu, iaitu lebih AS$1 trilion, melibatkan pemerolehan termasuk pelbagai lapisan pemintas, sistem amaran awal dan penjejakan berasaskan angkasa lepas serta penyelidikan dan pembangunan.

Laporan bebas itu mendapati pemintas berasaskan angkasa menyumbang kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kos pemerolehan dan 60 peratus daripada jumlah kos keseluruhan.

Setakat ini, hanya kira-kira AS$24.4 bilion diluluskan Kongres bagi program berkenaan.

Sistem itu bertujuan meliputi seluruh AS termasuk Alaska dan Hawaii.

Trump dalam perintah eksekutifnya pada 27 Januari 2025 berkata ancaman serangan peluru berpandu balistik, hipersonik dan jelajah, serta serangan udara canggih lain, kekal sebagai ancaman paling dahsyat dihadapi Amerika Syarikat.

“Sepanjang 40 tahun lalu, ancaman daripada senjata strategik generasi baharu bukan semakin berkurangan, sebaliknya menjadi lebih sengit dan kompleks berikutan pembangunan sistem pelancar generasi baharu oleh musuh setara dan hampir setara, selain keupayaan pertahanan udara dan peluru berpandu bersepadu tanah air mereka sendiri,” katanya.

CBO mengakui anggaran itu rumit berikutan kekurangan butiran daripada Pentagon mengenai saiz dan skop program, sekali gus “menjadikannya mustahil untuk menganggarkan kos jangka panjang sistem GDA yang sedang dipertimbangkan Jabatan Pertahanan.”

Pejabat itu menggunakan akronim GDA bagi merujuk kepada “Golden Dome for America”, nama lain bagi program berkenaan.

“Tanpa rancangan khusus bagi seni bina objektif GDA, CBO menganggarkan kos seni bina pertahanan peluru berpandu nasional secara andaian berdasarkan sistem dan keupayaan pertahanan yang digariskan dalam perintah eksekutif itu,” menurut laporan itu. – Bernama

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top