MBPJ perketat pemantauan kebun haram warga asing

MBPJ perketat pemantauan kebun haram warga asing

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperketat pemantauan dan akan meneruskan tindakan susulan terhadap kegiatan penerokaan kebun haram dipercayai membabitkan warga asing di kawasan lapang Urban Park 3 (Damai Belantara), Jalan PJU 10, Damansara Damai, di sini.

MBPJ dalam kenyataan berkata, kawasan terbabit sudah ditutup menerusi tindakan penguatkuasaan yang dijalankan susulan laporan media berhubung aktiviti pencerobohan tanah di lokasi berkenaan.

Menurutnya, pemantauan kini dipertingkat di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Undang-Undang Kecil Taman (MBPJ) 2005 bagi memastikan aktiviti sama tidak berulang.

“MBPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam aktiviti pencerobohan, pembinaan haram atau penggunaan tanah secara tidak sah yang boleh menjejaskan kepentingan awam serta kesejahteraan penduduk setempat.

“Tindakan susulan akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut MBPJ, aktiviti penerokaan haram itu bukan sahaja menjejaskan kebersihan, keselamatan dan kelestarian alam sekitar, malah boleh mengganggu sistem perparitan selain menyebabkan hakisan tanah serta kerosakan infrastruktur awam.

Katanya, kegiatan itu juga berpotensi mencetuskan kewujudan penempatan tidak terkawal di kawasan terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pencerobohan tanah atau penerokaan haram diminta menyalurkan aduan rasmi kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan serta tindakan segera diambil,” katanya.

Dalam masa sama, MBPJ turut mengingatkan pemilik tanah persendirian supaya tidak sewenang-wenangnya menyewakan atau membenarkan penggunaan tanah kepada mana-mana pihak tanpa kelulusan dan pemantauan sah pihak berkuasa.

“MBPJ komited memastikan tadbir urus bandar terus dilaksanakan secara teratur, selamat dan mematuhi lunas perundangan demi memelihara kesejahteraan serta kepentingan seluruh warga Petaling Jaya,” katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kebun haram yang dipercayai diusahakan warga asing pelarian di sebuah kawasan tanah kosong di sini selepas isu itu tular di media sosial.

Perkara itu disahkan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, melaporkan berhubung kekecewaan penduduk berikutan tiada tindakan tegas diambil ke atas warga asing yang dengan selamba membuka kebun secara haram.

Isu itu mula hangat diperkatakan selepas beberapa keping gambar dan klip video memaparkan sebuah kawasan tanah kosong dijadikan kebun oleh sekumpulan individu dikatakan warga asing.

Susulan itu tinjauan Harian Metro mendapati, pekebun haram terbabit sengaja tidak menebang pokok-pokok tinggi di sekeliling kebun mereka supaya jika dilihat dari luar seperti kawasan belukar biasa.

Warga asing dipercayai daripada sebuah negara Asia Tenggara itu turut dikatakan berlagak seolah-olah tanah itu ‘harta pusaka’ mereka sehingga boleh diwarisi oleh saudara-mara yang tiba kemudian.

Bagaimanapun, tinjauan dari atas mendapati di tengah-tengah belukar berkenaan sudah diratakan bagi tujuan bercucuk tanam dengan laluan masuk kecil di bahagian atas bukit dijadikan sebagai akses ke dalam kebun haram itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top