Waris mangsa nahas Boeing 737 MAX dapat pampasan RM195 juta

Waris mangsa nahas Boeing 737 MAX dapat pampasan RM195 juta
Waris mangsa nahas Boeing 737 MAX dapat pampasan RM195 juta

Gambar fail lokasi nahas Boeing 737 MAX milik Ethiopian Airlines di Kampung Quntushele, rantau Oromia.

WASHINGTON – Panel juri di Amerika Syarikat memerintahkan Boeing membayar ganti rugi berjumlah AS$49.5 juta (RM195.3 juta) kepada keluarga seorang wanita berusia 24 tahun yang maut dalam tragedi pesawat Boeing 737 MAX pada 2019.

Tuntutan itu difailkan oleh keluarga Samya Stumo yang terkorban dalam nahas melibatkan Penerbangan Ethiopian Airlines pada Mac 2019, yang mengorbankan seramai 157 penumpang dan kru.

Menurut dokumen mahkamah, panel juri di Chicago mencapai keputusan tersebut selepas bermesyuarat selama kira-kira dua jam dan menetapkan jumlah keseluruhan pampasan yang perlu dibayar kepada plaintif ialah AS$49.5 juta.

Kebanyakan saman sivil berkaitan tragedi itu sebelum ini diselesaikan di luar mahkamah. Namun, keluarga Stumo tidak mencapai persetujuan dengan Boeing sebelum perbicaraan bermula pada Isnin lalu.

Dalam kenyataan rasmi, Boeing menyatakan pihaknya bersimpati terhadap keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi Penerbangan Lion Air 610 dan Penerbangan Ethiopian Airlines 302.

Panel juri turut memutuskan keluarga Samya Stumo layak menerima AS$21 juta (RM82.8 juta) bagi penderitaan yang dialami akibat nahas tersebut, AS$16.5 juta (RM65.1 juta) atas kehilangan anggota keluarga serta AS$12 juta (RM47.3 juta) bagi kesedihan yang ditanggung keluarga mangsa.

Peguam daripada firma Kline & Specter, Shanin Specter dan Elizabeth Crawford yang mewakili keluarga mangsa berkata, mereka menghargai peluang diberikan untuk mengendalikan tuntutan pampasan berkenaan. – AFP

Scroll to Top