PRN Johor: 'Lebih baik UMNO bertanding solo' – KJ

PRN Johor: 'Lebih baik UMNO bertanding solo' – KJ

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah medan terbaik untuk menguji kekuatan Barisan Nasional (BN) dengan bertanding secara solo.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, dengan cara itu, BN mampu menilai sejauh mana kekuatan parti itu.

“Pilihan Raya Umum (PRU) kini berbaki lebih setahun sahaja lagi. Gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) di selatan kita akan dengar tidak lama lagi dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bergantung kepada Pemangku Sultan Johor.

“Pada pandangan saya kita uji kekuatan sebenar BN dan UMNO dengan bertanding secara solo di PRN Johor. Kita lihat sejauh mana kekuatan parti, manakala soal PRU adalah soal lain dan perlu dibincangkan kemudian.

“Saya berpandangan sebegitu kerana Johor bukan Kerajaan Perpaduan sebaliknya kerajaan BN dan apa yang kita mahu lakukan itu untuk pertahan kerajaan sedia ada.

“Jika keputusan PRN Johor cantik, kita bawa pula ke PRN Melaka dan negeri lain yang seterusnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 Anjuran UMNO Ketereh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy turut menekankan UMNO perlu berbuat baik dengan semua parti walaupun berlawan pada pilihan raya.

“Cari kawan, jangan cari musuh. Kelebihan UMNO adalah kita mampu bercakap dengan semua,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan perbincangan mengenai PRN Johor hanya akan dibincangkan selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Beliau berkata, sama ada PRN Johor akan diadakan lebih awal daripada PRN Melaka, perkara itu juga akan dibincangkan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top